[go: up one dir, main page]

Friday, December 10, 2010

12 AURAT WANITA


1. Bulu kening - Menurut Bukhari, Rasullulah melaknat perempuan yang mencukur atau menipiskan bulu kening atau meminta supaya dicukurkan bulu kening - Petikan dari Hadis Riwayat Abu Daud Fi Fathil Bari.

2. Kaki (tumit kaki) semacam hantu loceng - Dan janganlah mereka (perempuan) membentakkan kaki (atau mengangkatnya) agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan - Petikan dari Surah An-Nur Ayat 31. Keterangan : Menampakkan kaki dan menghayunkan/melenggokkan badan mengikut hentakan kaki terutamanya pada mereka yang mengikatnya dengan loceng……

3. Wangian - Siapa sahaja wanita yang memakai wangi-wangian kemudian melewati suatu kaum supaya mereka itu mencium baunya, maka wanita itu telah dianggap melakukan zina dan tiap-tiap mata ada zinanya terutamanya hidung yang berserombong kapal kata orang sekarang hidong belang - Petikan dari Hadis Riwayat Nasaii, Ibn Khuzaimah dan Hibban.

4. Dada - Hendaklah mereka (perempuan) melabuhkan kain tudung hingga menutupi bahagian hadapan dada-dada mereka - Petikan dari Surah An-Nur Ayat 31.

5. Gigi - Rasullulah melaknat perempuan yang mengikir gigi atau meminta supaya dikikirkan giginya - Petikan dari Hadis Riwayat At-Thabrani, Dilaknat perempuan yang menjarangkan giginya supaya menjadi cantik, yang merubah ciptaan Allah - Petikan dari Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.

6. Muka dan leher - Dan tinggallah kamu (perempuan) di rumah kamu dan janganlah kamu menampakkan perhiasan mu seperti orang jahilliah yang dahulu. Keterangan : Bersolek (make-up) dan menurut Maqatil sengaja membiarkan ikatan tudung yang menampakkan leher seperti orang Jahilliyah.

7. Muka dan Tangan - Asma Binte Abu Bakar telah menemui Rasullulah dengan memakai pakaian yang tipis. Sabda Rasullulah: Wahai Asma! Sesungguhnya seorang gadis yang telah berhaid tidak boleh baginya menzahirkan anggota badan kecuali pergelangan tangan dan wajah saja - Petikan dari Hadis Riwayat Muslim dan Bukhari.

8. Tangan - Sesungguhnya kepala yang ditusuk dengan besi itu lebih baik daripada menyentuh kaum yang bukan sejenis yang tidak halal baginya - Petikan dari Hadis Riwayat At Tabrani dan Baihaqi.

9. Mata - Dan katakanlah kepada perempuan mukmin hendaklah mereka menundukkan sebahagian dari pemandangannya - Petikan dari Surah An Nur Ayat 31.

Sabda Nabi Muhamad SAW, Jangan sampai pandangan yang satu mengikuti pandangan lainnya. Kamu hanya boleh pandangan yang pertama sahaja manakala pandangan seterusnya tidak dibenarkan hukumnya haram - Petikan dari Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Tirmidzi.

10. Mulut (suara) - Janganlah perempuan-perempuan itu terlalu lunak dalam berbicara sehingga berkeinginan orang yang ada perasaan serong dalam hatinya, tetapi ucapkanlah perkataan-perkataan yang baik - Petikan dari Surah Al Ahzab Ayat 32.

Sabda SAW, Sesungguhnya akan ada umat ku yang minum arak yang mereka namakan dengan yang lain, iaitu kepala mereka dilalaikan oleh bunyi-bunyian (muzik) dan penyanyi perempuan, maka Allah akan tenggelamkan mereka itu dalam bumi - Petikan dari Hadis Riwayat Ibn Majah.

11. Kemaluan - Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan mukmin, hendaklah mereka menundukkan pandangan mereka dan menjaga kehormatan mereka - Petikan dari Surah An Nur Ayat 31.

Apabila seorang perempuan itu solat lima waktu, puasa di bulan Ramadan, menjaga kehormatannya dan mentaati suaminya, maka masuklah ia ke dalam Syurga daripada pintu-pintu yang ia kehendakinya - Hadis Riwayat Riwayat Al Bazzar.

Tiada seorang perempuanpun yang membuka pakaiannya bukan di rumah suaminya, melainkan dia telah membinasakan tabir antaranya dengan Allah - Petikan dari Hadis Riwayat Tirmidzi, Abu Daud dan Ibn Majah.

12. Pakaian - Barangsiapa memakai pakaian yang berlebih-lebihan terutama yang menjolok mata , maka Allah akan memberikan pakaian kehinaan di hari akhirat nanti - Petikan dari Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud, An Nasaii dan Ibn Majah.



Petikan dari Surah Al Ahzab Ayat 59. Bermaksud : Hai nabi-nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin, hendaklah mereka memakai baju jilbab (baju labuh dan longgar) yang demikian itu supaya mereka mudah dikenali. Lantaran itu mereka tidak diganggu. Allah maha pengampun lagi maha penyayang.

Sesungguhnya sebilangan ahli Neraka ialah perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang yang condong pada maksiat dan menarik orang lain untuk melakukan maksiat. Mereka tidak akan masuk Syurga dan tidak akan mencium baunya - Petikan dari Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim. Keterangan : Wanita yang berpakaian tipis/jarang, ketat/ membentuk dan berbelah/membuka bahagian-bahagian tertentu.

Wednesday, December 1, 2010

Roh Harum Dan Roh Busuk

Dari Abu Hurairah r.a katanya:

“Apabila roh orang-orang mukmin keluar dari tubuhnya dua orang malaikat menyambutnya dan menaikkannya ke langit.”

Kata Hammad : “Kerana baunya harum seperti kasturi.” Kata penduduk langit “Roh yang baik datang dari bumi. Sallallahu ‘alaika (semoga Allah melimpahkan kebahagiaan kepadamu) dan kepada tubuh tempat engkau bersemayam.”

Lalu roh itu dibawa ke hadapan Tuhannya Azza wa Jalla.

Kemudian Allah berfirman:
-“Bawalah dia ke Sidratul Muntaha dan biarkan di sana hingga hari kiamat.”

Kata Abu Hurairah selanjutnya:
-“Apabila roh orang-orang kafir keluar dari tubuhnya” – kata Hammad, berbau busuk dan mendapat makian, maka berkata penduduk langit,”Roh jahat datang dari bumi.” Lalu diperintahkan, bawalah dia ke penjara dan biarkan di sana hingga hari kiamat.”

(Muslim)

Huraian:

Kematian sesungguhnya amat menyiksakan. Kematian orang-orang yang tidak beriman mempunyai banyak perbezaan dengan kematian orang-orang yang beriman.

Tanda-tandanya bukan sahaja dapat dilihat oleh orang yang hidup bahkan ini diperakukan sendiri di dalam al-Quran melalui firman Allah S.W.T yang maksudnya:

-“Kalau sekiranya kamu dapat melihat malaikat-malaikat mencabut nyawa orang-orang yang kafir seraya memukul muka dan belakang mereka serta berkata,

-“Rasakanlah olehmu siksa neraka yang membakar.” (niscaya kamu akan merasa sangat ngeri) (al-Anfal :50).

Rasulullah s.a.w sekalipun dianggap sebagai kekasih Allah turut merasakan kesakitan sakratulmaut. Itupun baginda diperlakukan secara lembut oleh malaikat.

Maka bayangkanlah bagaimana kesakitannya jika kita selaku insan biasa dapat berhadapan dengan situasi ini. Oleh itu seharusnya kita sentiasa berwaspada agar tidak tergolong di kalangan orang-orang yang tidak beriman, lalai dan lupa kepada Allah kerana sudah pasti roh kita nanti bakal ditempatkan di dalam penjara sehingga hari kiamat.

* Bolehkah Memberitahu Aurat Kepada Bukan Mahram*

Asssalamualaikum..

Apakah hukum memberitahu sesuatu sesuatu ciri-ciri bhagian aurat kepada yg bukan mahram tanpa menunjukan bahagian tersebut?
Contohnya seorng prempuan memberitahu kepada kawan lelakinya tentang rambutnya seperti rambutnya pnjang, lurus dn sebagainya..tetapi lelaki tersebut tidak pernah melihat/terlihat rambut perempuan itu tersebut..

Jawapan:

Waalaikumussalam warahmatullahi wa barakatuh. Tidak boleh memberitahu hal tersebut kepada bukan mahram.

a) Antara illah aurat wanita muslim di hadapan wanita non muslim sama seperti dgn lelaki bukan mahram adalah kerana wanita non muslim ini tidak boleh dipercayai kerahsiaan mereka (dalam menjaga amanah).. Ditakuti aib dan aurat wanita muslim dihebah-hebahkan.

b) Dari Ibn Mas’ud radiallahu anhu. berkata, Rasulullah saw. bersabda: “Janganlah seorang perempuan bergaul dengan perempuan lain kemudian menceritakan perempuan lain itu kepada suaminya sehingga seakan-akan suaminya melihat perempuan yang diceritakannya”.(HR. al-Bukhari dan Muslim)

c) Imam Ibnu Katsir di dalam Tafsir Ibnu Katsir menyatakan:
“Firman Allah Subhanahu wa Taala [au nisaa`ihinna], maksudnya adalah, seorang wanita Muslimah juga dibolehkan menampakkan perhiasannya (auratnya) kepada wanita-wanita Muslimah, namun tidak boleh kepada ahlu zimmah (wanita-wanita kafir ahlu zimmah); agar wanita-wanita kafir itu tidak menceritakan aurat wanita-wanita Muslimah kepada suami-suami mereka. Walaupun hal ini mesti dihindari (mahdzuuran) pada semua wanita, akan tetapi kepada wanita ahlu zimmah lebih ditekankan lagi. Sesungguhnya tidak ada larangan mengenai masalah ini (menceritakan aurat wanita lain) bagi wanita ahlu zimmah. Adapun untuk wanita Muslimah, sesungguhnya, dia memahami bahawa hal ini (menceritakan aurat wanita lain kepada suaminya) adalah haram. Oleh kerana itu, hendaknya dia menjaga diri dari hal tersebut. [Tafsir Ibnu Katsir, juz 6, hal. 48]

sumber: al-fikrah,net

Kekuatan Solat Tahajjud Membina Hubungan Dengan Allah

Sahabat yang dirahmati Allah,



Sebagai seorang Mukmin, hidup kita hendaklah sentiasa mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. Sentiasa melaksanakan apa yang disuruh dan menjauhi apa yang dilarang oleh-Nya. Semua bentuk ibadah samaada yang wajib atau pun sunat semuanya akan difokuskan untuk melahirkan jiwa hamba, tunduk dan patuh dan menyerahkan diri sepenuhnya tanpa banyak bicara.



Solat satu ibadah khusus solat sunat yang amat dituntut untuk dikerjakan oleh seorang Mukmin adalah solat tahajjud. Kekuatan solat tahajjud adalah dapat membina hubungan hati dengan Allah s.w.t.



“Tahajjud” bermaksud bangun dari tidur pada waktu tengah malam. Solat tahajjud boleh dikerjakan di permulaan, pertengahan atau penghabisan malam, asalkan sesudah menunaikan solat Isyak. Akan tetapi sebaik-baik waktu melakukannya ialah sepertiga malam yang terakhir. Sekurang-kurangnya solat tahajjud dikerjakan dua rekaat.



Sungguh Nabi s.a.w. solat malam hingga kedua tapak kakinya merekah. Dalam satu riwayat Aishah berkata kepada Nabi s.a.w.: “Mengapa engkau melakukan hal ini wahai Rasulullah, padahal Allah telah mengampuni dosa-dosamu yang telah lalu dan yang akan datang.” Baginda bersabda: “Apakah aku tidak ingin menjadi hamba yang sangat bersyukur?”

(Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari)



Sekarang kita bandingkan amalan Rasulullah s.a.w. ini dengan diri kita sendiri yang bergelumang dengan dosa dan amat kurang sekali melakukan ibadah kepada Allah s.w.t. untung nasib belum dipastikan samada Syurga atau Neraka. Kenapa kita tidak mahu bersungguh-sungguh dalam melaksanakan solat tahajjud ini? Adakah kita menganggap diri kita sebanding atau lebih baik daripada Rasulullah s.a.w.?





Firman Allah s.w.t maksudnya :

“Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah “solat Tahajjud” padanya, sebagai solat tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji”.

(Surah al-Israa’ ayat 79)



“Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa adalah ditempatkan di dalam beberapa taman Syurga, dengan matair-matair terpancar padanya. (Keadaan mereka di sana) sentiasa menerima nikmat dan rahmat yang diberikan kepadanya oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka di dunia dahulu adalah orang-orang yang berbuat kebaikan. Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja masa dari waktu malam, untuk mereka tidur. Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun)”. (Surah al-Dzaariyaat ayat15-18)



Memang benar solat Tahajjud ini hanyalah solat sunat tetapi ianya adalah solat sunat mu’akkad (yang di tuntut). Sekiranya junjungan besar kita Rasulullah s.a.w. begitu bersungguh-sungguh memastikan ibadah ini dilaksanakan sehingga bengkak-bengkak kakinya kenapa kita masih berat hati untuk melakukannya. Apatah lagi solat tahajjud ini merupakan solat yang paling utama sesudah solat fardhu.



Sahabat yang dimuliakan,

Dalam sebuah hadis dari Bilal r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, “Hendaklah kamu qiamul lail (solat malam), kerana sesungguhnya solat malam itu adalah kebiasaan orang-orang soleh sebelum kamu, dan mendekatkan diri kepada Allah, mencegah dari perbuatan dosa, dan menutupi dosaatau kejahatan-kejahatan dan mengusir penyakit dari badan.”

( Hadis Riwayat Ahmad, Tirmizi, Hakim dan Baihaqi.)



Dari Sayidina Umar Ibnu Khattab, dari Nabi s.a.w bersabda maksudnya : “Sesiapa yang mengerjakan solat di waktu malam (tahajjud) serta membaguskan solatnya, Allah akan memberikan dia kemuliaan sembilan macam. Lima macam di dunia, dan empat macam di akhirat.



“Yang lima macam di dunia, ialah :



1. Allah akan memeliharanya dari segala macam bahaya.

2. Ditunjukkan tanda-tanda sebagai orang yang taat pada mukanya.

3. Ia akan dicintai di hati orang-orang mukmin dan segenap hati manusia umumnya dan

4. Pembicaraannya berisi hikmat ,

5. Dijadikan dia orang bijaksana, yakni dia dikurnai fikiran cerdas.



“Yang empat macam di akhirat nanti, ialah :



1. Dibangkitkan dia dari kubur, wajahnya putih bercahaya,

2. Akan dimudahkan dia waktu dihisab,

3. Ia akan melintas di atas shirat (titian) seperti kilat, dan

4. Diberikan buku amalannya di tangan kanannya di hari kiamat."



Sahabat yang dihormati,



Dari Abu Hurairah bahwasanya Rasulullah bersabda maksudnya : “Rabb kita turun ke langit dunia pada setiap malam yaitu ketika sepertiga malam terakhir. Dia berfirman: Siapa yang berdoa kepada-Ku, maka akan Aku kabulkan, siapa yang meminta kepada-Ku, maka akan Aku berikan, dan siapa yang yang memohon ampun kepadaKu, maka akan Aku ampuni”

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)



Oleh itu marilah sama-sama kita perbaiki amal kita dengan mengerjakan solat tahajjud, berdo'a dan bermunajat kepada Allah s.w.t. pada waktu seperiga malam akhir (dari jam 2 pagi -5 pagi). Kerana ketika ini do'a kita dimakbulkan oleh Allah s.w.t. Ketika hati dan fikiran kita tenang, sunyi dari kesibukan dunia maka ketika saat inilah jika kita bermunajat hingga menitiskan air mata penyesalan dan memohon ampun kepada Allah s.w.t. maka akan mendapat perlindungan daripada Allah s.w.t. di hari akhirat nanti. Jangan sia-siakan masa dan umur kita dan buatlah sesuatu amalan yang boleh memberi kekuatan dalam membina hubungan kita dengan Allah s.w.t.


link:http://scripters.ning.com/forum/topic/show?id=2386880:Topic:394231&xgs=1&xg_source=msg_share_topic