[go: up one dir, main page]

Wednesday, January 21, 2026

Ayam goreng crispy

January 21, 2026 1 Comments

 Rabu, 14 Januari 2026 - Tiada benda menarik berlaku dalam hidup saya. Bosan tak, kalau saya asyik cerita di blog tentang topik masak saja? Huhu... saya cerita jugalah. Pada hari itu, ada lagi lauk tak habis dalam peti ais.

Panaskan lauk kari ayam
Saya panaskan lauk kari ayam.

Tinggal 2 ketul saja ayam dalam kari ayam. Saya top-up bendi yang baru dipetik, campak dalam kari waktu sedang panaskan atas dapur. Kena masak lagi satu lauk untuk bertahan sampai malam. Fikir punya fikir, sesi termenung depan peti ais, ambil keputusan untuk goreng ayam saja.

Bahan-bahan untuk goreng ayam
Sediakan bahan-bahan untuk goreng ayam

Ayam tinggal separuh ekor. Tepung bistari tinggal tak banyak, saya bancuh cair. Guna kaedah double dip. Celup ayam dalam bancuhan cair dahulu. Kemudian, celup dalam tepung tempura pula. Habiskan tepung yang ada dalam peti ais.

Ayam goreng crispy
Siap, ayam goreng crispy.

Jarang-jarang saya goreng ayam ni. Selalunya, saya masak lauk berkuah. Tapi kuah kari ada tu, ok la, buat ayam goreng. Kalau tak, cekik makan nasi.

Sambal belacan
Sambal belacan buat semalam pun masih ada.

Alhamdulillah. Rezeki pada hari itu. Hari ni, kome nak masak apa? Semoga dipermudahkan urusan anda semua, walau di mana saja anda berada.

Jumpa lagi, ye. 💗

Tuesday, January 20, 2026

Pokok bawah bumbung

January 20, 2026 26 Comments

Rabu, 14 Januari 2026 - Saya ikut suami pergi  bungkus nasi untuk sarapan Sulaiman. Singgah 7-Eleven, beli kopi. Dua cawan kopi americano, panas dan sejuk, harga RM5.

Pastries dalam chiller 7-Eleven
Tergoda tengok pastries.

Tapi tak beli pun pastries. Tengok jer.

Lepas suami pergi kerja pukul 7 pagi, saya berkebun. Tidak pergi briskwalk. Malas nak drive pergi padang di Sitiawan. Malas nak join kesesakan awal pagi. Baik berkebun saja, mengadap pokok. 
Dekat tempat saya ni, ramai orang keluar pagi-pagi. Dulu, tak macam ni. Sekarang kalau pergi cari nasi lemak sebelum pukul 7 pagi di Bukit Permata, penuh manusia, kebanyakan pakai uniform warna merah, juga sibuk beli makanan di situ. Masa dulu-dulu zaman sebelum covid, penuh dengan orang uniform oren. Sekarang, ramai uniform merah. Kerja dalam pengkalan TLDM. 

Berbalik kepada cerita berkebun.

Pokok ati-ati ada kutu

Merujuk kepada gambar kecil di atas, saya zoom-in. Mula-mula saya ingat tahi ulat pada daun. Bila ambil gambar dan zoom-in baru nampak benda hitam kecil-kecil tu ada kaki. Inilah perosak yang pernah buat pokok selasih saya mati. Daun pokok jadi bergulung dan pudar warna. 

Saya sudah buang daun yang ada perosak ini. Kemudian saya spray dengan penghalau serangga perosak yang beli di kedai Eco.

Pokok bunga kupu-kupu suka duduk bawah bumbung

Saya panggil pokok ni butterfly. Sebelum ni, dia duduk tengah panas. Makin lama makin sikit tinggal dan macam nak mati. Saya pindahkan ke bawah bumbung dekat garaj. Sudah keluar baru. Waktu malam, daunnya melipat ke bawah. Bila siang, daunnya mengembang seperti dalam gambar atas.

Pokok salvia ini pun suka duduk bawah bumbung 

Sekarang ada pasu saya letak bawah bumbung. Ada yang saya biar di luar tengah panas. Saya tukar tempat bila pokok macam nak mati. Bila pokok mulai nampak segar dan keluar daun atau bunga baru seperti di atas, maka betullah apa yang saya buat bila pindahkan lokasi pokok.

Keladi merah keluar daun baru

Semasa ia duduk tengah panas, tengoklah daun yang saya bulatkan. Ada kesan terbakar dan warna daun pudar. Bila pindahkan ke bawah bumbung, tumbuh daun baru yang lebih cantik dan terang warnanya.

Alocasia ninja atau black velvet

Yang ini pun suka duduk bawah bumbung. Masa mula beli ada 2 daun sahaja. Sekarang sudah bertambah banyak, dan tidak perlu siram setiap hari. Bila tengok tanah nampak kering, barulah siram.

Ini makcik yang suka berkebun dari pukul 7 hingga 10 pagi.

Dia suka duduk bawah bumbung. Kalau dia duduk tengah panas, dia kena pakai topi berkebun dan sebelum berkebun kena tepek sunblock secukupnya. Kalau tak, kulit akan ada kesan terbakar dan kemerahan seperti lobster. 😁

Hehe... Tu je la perkongsian hari ini. Hari ni ada banyak benda kena settle sebab esok saya nak jalan jauh, Insya-Allah. 

Jumpa lagi, ye. ♥️

Monday, January 19, 2026

Hadiah dari Ujie

January 19, 2026 37 Comments

 Blogger Ujie ada umumkan yang saya adalah antara top commentators di blog beliau untuk tahun 2025.

Top Commentators blog Titian Perjalanan
Dari blog Titian Perjalanan

Hadiah dari Ujie selamat sampai petang Ahad. Rajin courier J&T, hari Ahad pun dia orang kerja. Jadi, jomlah kita unboxing. Sebelum itu, saya nak bagitahu yang saya edit entri ini menggunakan handphone. Nak biasakan diri buat semua benda menggunakan handphone, termasuk update blog dan mengaji dengan ustazah. Sebab pertengahan minggu ini, saya ada roadtrip, Insya-Allah.

Kotak parcel baru sampai
Kotak yang agak besar

Semalam balik dari Lotus, cari barang untuk Hafizan. Dari jauh boleh perasan ada kotak atas tembok pagar saya. Saya tahu dari Ujie, sebab Ujie sudah maklumkan pada saya menerusi email yang hadiah on the way.

Plastik bubble wrap membaluti hadiah yang dipos
Apakah itu...?

Hadiah dibalut dengan bubble wrap untuk keselamatan. Saya sudah ternampak tulisan naelofar. Bapak! 😍

Hadiah dari Ujie
Tadaa.. 

Sepasang stokin Naelofar. Wow! Ini adalah sangat bagus. Sebab saya tak tahu pun naelofar juga ada keluarkan stokin. Tudung dia memang tersohor la, ye. Saiz betul pula tu, M. Camana Ujie boleh tahu saya selalu pakai saiz M? Hehehe.. mekacih! 🤗 

Turut kelihatan sebuah beg tangan dari Gugu Closet. Nice sangat! Nampak sungguh premium. Juga, sebuah beg yang saya kira, boleh digunakan sebagai shopping beg yang bahagian depannya tertulis Isi Dapur Suri Hati. Tiba-tiba teringat pada Cikgu Etuza yang selalu panggil isterinya Suri Hati. 😊 Belakang shopping beg itu ada tulisan Gugu, jadi dia sekali dengan beg tangan Gugu Closet tu la kot.

Stoking Naelofar
Close-up stoking Naelofar

Stoking muslimah anti slip ni. Lembut saja. Sayang pula nak pakai stoking lawa-lawa macam ni. Saya biasa pakai stoking kedai Ninso tu je. Hehe.. eh, takde takde, nanti saya pakai, ya. Buat pergi masjid solat terawih nanti, Insya-Allah. 🥰

Beg tangan tali pendek
Beg tangan pasang tali pendek

Beg tangan pula ada pilihan, boleh dipasang tali pendek atau tali panjang. Banyak compartment dalam beg tangan ini, tak padan dengan saiznya yang comel. Comel bagi saya, sebab saya biasanya bawa beg tangan besar gedabak, gitu. 

Beg tangan bertali panjang
Ini saya gayakan sudah dipasang tali panjang

Sukanya! 😍 Syukur Alhamdulillah. Bertukar-tukar beg tangan saya sejak tahun lepas, kome, sekejap pakai purse pemberian kak Amie, sekejap pakai beg handmade pemberian Fanny, sekarang sudah tukar beg dari Ujie pula. Suami tengok saya kecik besor kecik besor. Hehehe... Jeles ler tu, orang dapat hadiah. 😜

Terima kasih kepada Ujie, atas pemberian hadiah ini semua. Saya sangat hargainya. Semoga Ujie sihat-sihat selalu, dimurahkan rezeki, berbahagia bersama suami tercinta dan seisi keluarga, dan segala impian Ujie dapat dicapai dengan izinNya. Terima kasih, banyak! Pada yang belum kenal blogger Ujie, silalah berkunjung ke blog beliau ya. 

Sekian perkongsian. Jumpa lagi. 🩷

Sunday, January 18, 2026

Masak apa Selasa

January 18, 2026 23 Comments

 Selasa, 13 Januari 2026 - Banyak hari sudah tidak tengok kebun kecil di rumah. Hari ini, saya tidak pergi briskwalk. Berkebun di rumah saja. Kenapa? Saya malas nak melibatkan diri dalam kesesakan sempena minggu pertama sekolah dibuka. Kita berhadapan dengan banyak pilihan dalam hidup kita sehari-hari. Kalau hari Sabtu atau Ahad, boleh juga saya menggagahkan diri pandu kereta sendiri ke padang di Sitiawan. Tapi hari biasa, memang tak kuasa saya untuk menserabutkan diri dalam kesesakan. Mengadap pokok di rumah lebih tenang. 

Dari awal pagi saya berkebun. Saya masuk rumah pukul 10.15 pagi. Terus masuk dapur, untuk masak makanan tengahari.

Telur dadar
Telur dadar.

Telur dadar guna telur 4 biji. Tiga orang saja ada di rumah. Hafizan sudah balik Politeknik. Amirul pun sudah lama balik uitm.

Kari ayam
Kari ayam

Saya masak kari ayam, menggunakan separuh ekor ayam. Masukkan juga bendi tanam sendiri. Satu hari, semai satu atau dua biji. Simpan peti ais. Bila masak lauk, boleh la masukkan. Saya masak kari tanpa santan.

Sambal belacan
Sambal belacan

Sambal belacan kisar guna blender. Saya tidak cukup rajin untuk menumbuk guna lesung. Alhamdulillah, selesai masak, saya briskwalk menggunakan walking pad, sambil layan siri Walking Dead. Selagi tidak habis sampai musim ke-11 kan, layan sajalah sikit-sikit.

Aktiviti riadah menggunakan Garmin Connect
Riadah dalam rumah.

Saya jalan sampai cukup 7 ribu langkah saja. Memang sudah banyak langkah bila berkebun di luar. Saya pula ke hulu, ke hilir, angkat pasu. Saya ubah kedudukan pokok yang tidak tahan panas ke lokasi di bawah bumbung, jadi redup sikit. Bila saya masuk rumah selesai berkebun, langkah saya sudah cecah 3 ribu. Jadi, tak lama pun atas walking pad, 25 minit saja sudah cukup.

Kemudian, buat cardio sikit. Juga latihan regangan sikit. 

Alhamdulillah. Hari ini, sudah pun hari Ahad. Kome buat apa tu? Selamat beristirehat di hujung minggu kepada semua pembaca sekalian.

Jumpa lagi. 💗

Saturday, January 17, 2026

Aktiviti Ahad lepas

January 17, 2026 21 Comments

Ahad, 11 Januari 2026 -  Saya tidak keluar jalan pagi. Lepas subuh, masuk dapur. Saya sediakan sarapan. Disebabkan roti bun hotdog beli hari tu untuk buat roti hamlet masih ada, saya ulang buat roti hamlet kali kedua.

Roti bun hotdog sudah tampal telur dadar
Roti hotdog sudah tampal telur

Kali ini, saya habiskan tampal roti dengan telur dadar dulu, barulah saya sapu kaya dan butter. 

Roti bun hotdog sudah sapu kaya dan butter, jadilah roti hamlet
Sudah disapu kaya dan butter

Butter cair bila disapu kerana telur pada roti masih panas. Jadilah roti hamlet. Alhamdulillah. 
Selain sarapan roti hamlet, nasi tidak habis ada disimpan dalam peti ais. Saya panaskan nasi dalam rice cooker. Ada dua biji telur goreng juga dalam peti ais. Saya goreng lagi dua biji telur mata.

Telur goreng masak sos
Telur goreng masak sos

Saya tumis bawang merah dan cili api sebiji. Bila bawang sudah layu, masukkan sesudu cili kisar. Kacau seketika, kemudian masukkan sos tomato dan sos cili. Tambah air sikit jika terlalu pekat. Masukkan empat biji telur goreng. Jadilah, telur masak sos. Buat lauk makan dengan nasi. Alhamdulillah. Tidak perlu beli makan di luar. Masak simple saja di rumah.

Siri the Walking Dead
Siri the Walking Dead

Sarapan sambil layan siri the Walking Dead. Sudah masuk musim keenam, marathon siri ini. Saya sudah ikuti siri ini sejak masih langgan Astro beberapa tahun lepas. Tapi sudah berhenti tengok. Tawar hati selepas Carl mati. Sedangkan dalam komik Walking Dead, Carl adalah pencerita. Tambah tawar hati selepas Glenn mati, kena bunuh oleh Negan. Berhenti tengok lepas the Whisperers keluar. Manusia pakai kulit muka orang yang sudah mati. Sekarang, saya tengok semula. Slow-slow layan bila ada waktu free. Cerita zaman zombie. Teringat cerita Zombie Kampung Pisang arahan arwah Mamat Khalid. Zomba katik. 😁

Seronok bersenang-lenang di hari Ahad. Hujung minggu Sabtu atau Ahad, rasa lebih seronok lepak di rumah. Masak benda yang simple-simple dan mudah siap. Layan TV. Salam Israk Mikraj kepada semua pembaca sekalian. Kome pergi jalan-jalan ke, atau lepak rumah saja?

Jumpa lagi, ye. 💗

Friday, January 16, 2026

Mi goreng mamak

January 16, 2026 29 Comments

 Sabtu, 10 Januari 2026 - Saya dan suami pergi makan tengahari di Azmey Mee Goreng. Masa kami berjalan pagi, antara topik yang biasa kami bualkan adalah perihal tempat makan. Di padang tempat kami berjalan pagi itu, ada kedai mi goreng sedap tapi sekarang sudah selalu tutup sebab khabarnya tuan kedai kini sudah jadi ketua kampung. Jadi, dia sudah terlalu sibuk untuk berniaga. 

Jadi, kami kena cari kedai mi goreng mamak yang lain. Saya teringat ada sekali kami pernah beli, saya jumpa kedai ini menerusi group penduduk tempatan. Masa pertama kali kami mencuba, kedai ini tiada kerusi meja, hanya boleh bungkus. Tapi kini, Azmey Mee Goreng ini sudah jadi kedai makan agak besar tepi jalan di Kampung Pencalang, Sitiawan, Perak.

Azmey Mee Goreng
Ini kedainya

Ada kemajuan. Bagus la, sebab mi goreng dia pun portion besar dan sedap. Masa dalam perjalanan ke mari, kami melepasi beberapa tempat ada kenduri kahwin. Bestnya, dapat jemputan nasi minyak. Kami ni, tak ada yang menjemput. Jadi kami menjemputkan diri sendiri ke kedai mi goreng. Haha...

Mee goreng daging telur mata
Mi goreng daging

Ada dua meja ada pelanggan waktu kami sampai. Sebaik duduk, ada adik datang bawa menu ambil pesanan. Mi goreng daging,  pesanan suami. Tengok la, mi dia membukit! Daging dalam mi lembut, tidak liat. Waktu tukang masak masak di dapur, bunyi kelentung kelentang sampai ke depan ruang kami makan, bunyi sudip dan kuali. Lepas tu, ada aroma bau hangit-hangit tu. Hmmmm.... Sedapnya! Bau pun sudah rasa sedap. 😋

Mee goreng mamak telur mata
Mi goreng mamak biasa

Sama-sama pesan mee goreng mamak. Kedai ini selain mee goreng, ada juga bihun goreng, kuetiau goreng, maggi goreng dan nasi goreng pelbagai jenis seperti udang, goreng biasa, daging, dan lain-lain.

Kami lapar. Habis makan sepinggan. 

Banyak kerusi meja.
Banyak tempat duduk.

Di meja hujung sinun dalam gambar di atas, ada jual jeli kelapa, dan pencuci mulut lain, dalam bekas atas meja. Suami ambil jeli kelapa bawa balik.

Alhamdulillah. Dapat makan mee goreng sedap, boleh datang lagi, nak cuba kuetiau pula.


Sekian perkongsian. Jumpa lagi ya. 🩷

Jalan pagi dan sarapan apa

January 16, 2026 15 Comments

 Sabtu, 10 Januari 2026 - Saya pergi briskwalk di padang Astaka, Sitiawan. Tidak bawa handphone, jadi tak ambil gambar apa-apa semasa berjalan. 

Aktiviti berjalan menggunakan Garmin Connect
Berjalan selama 50 minit dengan jarak 4.44 kilometer.

Cantik pula nombor jarak berjalan pada hari itu. Nombor empat belaka. Kalau orang berbangsa cina, panggil nombor 3A. Saya pernah tinggal di rumah flat blok 4. Tapi alamat tulis 3A. 😁 

Rasa badan berat hari itu sewaktu slowjogging. Hari sebelumnya, saya minum air manis. Minum hazelnut latte panas. Teringin. 🤤 Lama bebenor tak pekena kopi manis. Lepas dapat tu, lega rasanya dan mood sangat happy. Tapi bila beriadah keesokannya, rasakanlah kesannya. Entah badan saya ini, bila sesuatu benda kurang elok masuk, badan akan bagi signal. Sama ada rasa semput atau rasa berat nak melangkah, maksudnya, badan macam lesu.

Nasi lemak telur mata
Nasi lemak telur mata

Balik rumah selepas berjalan pagi, saya sarapan nasi lemak telur mata. Beli sudah siap bungkus. Sedap, cukup rasa nasi lemaknya.

Ada kelas mengaji pukul 11 pagi. Kelas Asas Makhraj dan Sifat Huruf. Kelas pertama beramai-ramai. Untuk sesi pertama, belajar huruf Ba, Ta, Sa, Jim. Ramai yang tua-tua, macam saya juga. 

Sekian aktiviti pada hari Sabtu itu. Kome sarapan apa pagi ni?

Jumpa lagi, ye. 💗