[go: up one dir, main page]

Daisypath Anniversary tickers

Monday, December 27, 2021

Duit belanje




Semalam terbaca post ni waktu tengah tengok fb sebelum tidur. 
Teringat zaman sekolah rendah… 
Kalau ikutkan macam sebaya je aku dengan admin SK Press ni. Tahun 1995 aku darjah 1. 
Tapi masa tu nasi lemak sepinggan harga 20 sen je. Air seposen. 
Selalunya arwah abah aku bagi duit belanja 50 sen sorang. 
Aku tak ingat baki duit tu aku beli apa sebab selalunya balik memang duit tu akan habis hahaha. 

Tapi masa aku darjah 4 kalau tak silap, nasi lemak tu naik harga jadi 30 sen. 
Masa tu ramai la orang bising…
Sampaikan aku pernah dengar ada orang complain pasal harga nasi lemak naik ni dalam radio. 
Kalau ikutkan walaupun naik seposen harga nasi lemak tu, duit belanja aku yang 50 sen tu masih mencukupi….tapi biasalah budak-budak, macam-macam makanan teringin dibeli. 
Kadang nak beli kuih lah, sagun kelapa lah… 
Sagun kelapa ni depa jual dalam plastik ais-krim. Sedap sangat! 
Kalau nak makan sagun kelapa ni tak boleh bersembang, sat gi tersedak…naya. 
Tu belum lagi nak membeli dekat koperasi…nak kumpul pemadam wangi lah, pensel picit lah…macam-macam. 

Masa tahun 1999, aku darjah 5. 
Masa ni aku sorang je yang masih tinggal dekat rumah. 
Abang dengan kakak-kakak aku semua dah masuk asrama penuh. 
Jadi, duit belanja dalam bekas yang abah dah letak dekat almari tu memang aku la konker. 
Abah pulak memang duit syiling selalu ada dalam poket. 
Bila mak basuh baju, mak akan kosongkan poket abah tu…dan syiling-syiling tu mak letak dalam satu bekas…dan bekas tu letak dekat almari. 
Jadi, aku bebas ler nak amik berapa posen pun sebab takde orang nak cek. Hahaha. 

Kadang tu amik RM1…kemain la membeli makanan. 
Lepas makan nasi lemak, beli pulak fish cake cucuk. 
Kadang beli ayam goreng. Harganya 50 sen satu. 
Kadang tu tempah nasi lemak dekat kawan, dengan kuih cucur badak mak dia buat sedap giler ever.
Tapi suatu hari tu kawan aku tu kena marah dengan makcik kantin sebab menjual dalam sekolah. 
Kalau diikutkan memang tak boleh…sebab tu kawan aku tu jual makanan tu senyap-senyap. 
Tapi kantoi juge la kan…mungkin ada kawan yang terlepas cakap atau ada orang report.

Sampaikan suatu hari tu, abah tanya aku, aku sebenarnya bawak duit pergi sekolah berapa posen. 
Masa tu aku jujur jela cakap bawak singgit….pastu buat muka comel. 
Terus abah tak jadi marah. 
Lagi satu, mungkin sebab aku sorang je yang masih sekolah rendah masa tu, 
jadi abah biar jela aku bawak duit berapa pun…tapi takde la sampai beringgit-ringgit aku bawa. 

Kalau arwah mak aku masa kecik, memang takde duit belanja langsung. 
Sebab mak kata diorang orang susah… adik-beradik pulak ramai. 
Kalau pergi sekolah memang tak makan apa langsung, pergi sekolah jalan kaki pulak tu. 
Waktu rehat dekat sekolah, arwah mak minum air paip je untuk alas perut… huhuhu. 
Mak kata pernah suatu hari tu, cikgu tanya sorang-sorang sarapan apa. 
Masa tu mak taktau nak jawab apa, sebab memang dia tak makan pun. 
Dan kalau nak cakap tak makan langsung, segan agaknya… 
Jadi mak pun ikut kawan dia cakap nasi goreng, dia pun cakap makan nasi goreng. 

Kalau arwah abah pulak, keluarganya sederhana je…
Takde susah sangat sebab arwah opah aku hari-hari meniaga nasi lemak. 
Jadi, abah aku bawa bekal nasi lemak tu jela. 
Arwah atuk pulak keje askar… abah pernah cakap, atuk aku tu, 
kalau abah mintak nak beli alat tulis atau apa-apa barang berkaitan belajar, 
memang atuk aku akan usahakan sampai dapat…sebab dia nak anak-anaknya senang untuk belajar. 

Sama macam arwah abah aku…
Kalau mintak benda yang berfaedah dan akan digunakan untuk belajar memang abah akan usahakan jugak untuk beli bagi dekat kami.
Abah sorang je keje..mak masa tu surirumah sepenuh masa. 
Aku selalu ingatkan abah aku banyak duit, tapi abah kata dia tak banyak duit pun…
Kereta pun abah pakai kereta biasa je sampai la ke akhir hayatnya.
Kereta tu la yang bawa kami ke macam-macam tempat… daftar U, ambil dari asrama, 
bawak balik barang asrama dan sebagainya. 

Masa aku masuk U, aku mohon untuk dapat biasiswa tapi malangnye aku gagal sesi temuduganya. 
Tapi, disebabkan abah aku buat surat rayuan untuk dapatkan biasiswa tu, 
abah tulis dalam surat tu sebab abah dah nak pencen dan ada masalah kesihatan.
Alhamdulillah aku dapat pulak biasiswa tu…bersyukur sangat sebab abah kata abah cuba nasib je buat surat tu… takde cable-cable naa. 
Jadinya, aku guna ptptn untuk dua semester sahaja dan selebihnya ditanggung dengan biasiswa.
Dan bulan Oktober haritu, selesai dah hutang aku dengan ptptn… Alhamdulillah. 

Itu saje lah untuk hari ini. 
Selamat menyambut tahun baru ye semua. 
Aku macam biasalah azam tahun ni tak tercapai lagi. 
Kakak aku kata tahun depan jelah Poniiiiiiii…..kuang asam. 

Bye!


Wednesday, September 15, 2021

Asam Pedas Ikan Kembung


Aku suka resepi asam pedas ikan kembung dari link ni. Sedap resepi dia ni. Kena try. Cumanya aku tak letak biji sawi tu…sebab aritu aku tumis biji sawi tu dulu, merecik2 minyak panas tu macam tengah goreng ikan keli. Trauma aku. 😂



Aku buat kesimpulan ye dari video awesome di atas. Ada aku ubah-ubah sikit ikut kesesuaian diri sendiri.

Bahan kisar:
1. Bawang besar - 1
2. Bawang merah - 4
3. Bawang putih - 4
4. Kunyit hidup - 1 inci
5. Belacan - 1 inci
6. Cili kering - 10 tangkai (rebus dulu & tapis bijinya)

Cara masak:
1. Tumis bahan kisar.
2. Masukkan satu sudu besar gula dan separuh daun kesum.
3. Masukkan satu sudu kecil garam dan air asam jawa.
4. Kacau rata dan masukkan ikan.
5. Masukkan baki daun kesum dan bunga kantan.
6. Masukkan bendi dan tomato.
7. Biarkan mendidih dan siap!

😉😉😉




Sunday, August 15, 2021

Bantal busuk


Masa aku masuk asrama penuh waktu tingkatan 1, arwah mak aku ada jahitkan satu bantal peluk untuk aku. Bantal peluk tu dia tak panjang, macam saiz mini la tapi gemuk jugak bantal tu. Arwah mak siap bawak aku pergi kedai kain lagi untuk pilih nak sarung corak apa. Masa tu aku berkenan corak teddy bear yang ada sekali gambar bulan sabit dan bintang. Aku pilih corak tu sebab dia macam menunjukkan waktu malam la kan dan waktu malam adalah waktu untuk berehat dan tidur. Jadi, sesuai lah corak tu untuk bantal peluk aku tu. 



Gambar yang atas tu lah bantal peluk kesayangan aku tu. Ni gambar tahun 2013 ni…masa ni aku bertukar bilik dengan abang aku. Sebab masa tu, baru nak kahwin, jadi nak jadikan bilik ni bilik pengantin lah kan. Gambar ni diambil masa belum lagi beli katil, almari dan lain-lain..kosong je lagi bilik ni. Mujur ada tilam kekabu yang best tu. Aku guna bantal peluk tu dari tingkatan satu kot tahun 2001. Jadi, dah 20 tahun bantal busuk tu bersama aku…hahaha kome jangan ingat aku tak basuh pulak sarung tu. Aku basuh okayyy…dan bantal peluk tu aku jemur bawah cahaya matahari bagi kuman mati 😂😂😂

Cumanya sarung tu dah lusuh sangat dah sekarang…warna dia pun dah pudar sesangat dah. Jadi, aku mintak Meorsoleh tolong jahitkan sarung bantal baru untuk aku….dannn semestinya pilihan aku adalah corak Hello Kitty. Tak boleh move on dengan Hello Kitty! Gambar seperti di bawah. Alang-alang tu, aku suruh jugak beliau jahit sekali sarung bantal aku yang lain. Aku ni memang tidur beralaskan bantal peluk ni sekarang. Kalau tidur guna bantal empat segi besar biasa tu, mesti aku migrain. Bila tidur guna bantal peluk ni, dia macam support leher aku masa tidur, jadi insyaAllah aku tak migrain bangun pagi esoknya. 

Kalau pergi berjalan dan kena tidur hotel ke, aku akan bawak bantal empat segi kecik yang dekat depan sekali dalam gambar ni. Aku double-kan bantal hotel (yang lembikkkk tu) dengan bantal kecik ni. Kalau aku terlupa bawak bantal kecik tu, aku akan alas bantal lembik tu dengan beg berisi telekung. Nak bawak bantal peluk busuk aku tu beso sangat. Kiranya aku ni kena tidur bantal yang keras (kekabu penuh) dan tinggi barulah tak migrain. Entoh ler dah umur 30 lebih ni, jadi mengada-ngada pulak macam tu 😂


Lawa dak? Hasil jahitan Meorsoleh yang hensem tu. Done jekkk suami sendiri 😆


Beginilah aku kena tidur guna bantal peluk..
Kadang bantal kecik tu aku letak lagi atas bantal peluk ni, bior tinggi.

Mujur ada baki kekabu yang aku beli dekat Kuale harituu. Boleh la aku sumbat-sumbat kekabu tu dalam bantal peluk tu bagi gemok. Bantal lain pun aku sumbat-sumbat jugak sampai kekabu tu habis. Lepas tu, beli kekabu lain dekat shopeee. Tak ingat harga kekabu yang aku selalu beli dekat Kuale tu berapa. Ni aku jumpa dalam shopeee RM14/kg, okay la kot kan. Beli 5kg terus…senang. Kalau bantal dah lembik, kita isi lagi kekabu ni.


Aku suke betul isi kekabu dalam bantal. 
Syaratnye jangan lupa pakai mask le. Kalau tak, bersin la nanti.

Ni haaaa…terbaik penghantaran 👍🏻😍



Okay, jom tido!!! Kroooh kroohhhhh krooooohhhhh ZZZzzzz….



Friday, July 23, 2021

Selamat Hari Raya Aidiladha


Sempena raya kali ni, Meorsoleh keracunan makanan le pulak. Aku syak lemang kut…sebab lemang tu masaknye hari Isnin (tempah), hari Rabu ada lagi satu belum belah buluhnya…lepas dah belah dan potong lemang tu, tak kukus semula dulu, terus makan…haaa terus keracunan makanan laaaa….lagi satu beliau makan rambutan banyak sangat. Hehehe… Malam tu, beliau mengadu sakit perut. Ingatkan biasa je la kan…lepas membuang, okay la tu. Tapi tak berhenti-henti memulasnya tu dan makin sakit sampai beliau muntah banyak kali. Tapi takde cirit-birit…cuma muntah je. Macam-macam warna lah ada katanya. 

Lepas tu, beliau kata nak pergi kecemasan sebab nak cucuk ubat dan ambil ubat…masa tu hampir jam 3.00 pagi…baru nak tidurkan Muiz, mujur la malam tu Muiz pun takmau tidur lagi…jadi kami bertiga pergi la ke kecemasan…aku dropkan Meorsoleh depan kecemasan, dah nampak beliau masuk dan jumpa MA yang on-call tu, terus aku pergi parking ke tempat lain. Nak parking dekat tempat parking dialisis tu macam gelap je, yang terang pun parking tepi van jenazah, tapi takpelah. Aku parking tempat lain jela. Takotttt.

Aku dengan Muiz tunggu dalam kereta je sebab Meorsoleh kata takpe beliau boleh turun sorang. Dokter masukkan air dan suntik ubat untuk kurangkan memulas perut tu. Tunggu dalam 30 minit lebih sikit baru settle…Muiz pun dah tertidur dalam kereta dan lepas tu, kami bertiga pun balik ke rumah. Meorsoleh kata dokter tu macam nak tahan beliau dalam ward, tapi beliau cakap takpe ni, okay dah. Tapi, mane maunyeeee…balik rumah je memulas lagi perut tu…banyak kali keluar masuk toilet sebab muntah…aku sampai tak tido semalaman sebab risau takut beliau pengsan ke aku tak perasan (nauzubillah)…alhamdulillah pagi esoknya dah sembuh, dah boleh buat lawak…thank you, Allah. Lunch beliau makan bubur nasi aje….alololo cian. Suara pun dah jadi suara Awie. Boleh la lanje karok lagu Dipenjara Janji satu kali.

Apa-apa pun, kami sekeluarga mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha untuk semua! 😁😁😁



Jumpa lagi! 😍



Wednesday, June 30, 2021

Vaksin



Assalammualaikum.

Alhamdulillah dah lengkap vaksin dua dos. Aku dapat vaksin Sinovac. Masa dos pertama aritu ramai jugak orang dekat pusat vaksin tu. Tunggu giliran dalam 30 minit macam tu lah. Takde la lama sangat kan.. Yang masa nak pergi cucuk dos kedua ni…lagi la tak ramai orang. Sebab aku pergi lewat sikit kut. Aku sampai je, memang terus dapat giliran. Tak payah tunggu langsung. So far, memang okay je la. Takde demam dan sebagainya. Cuma petang tu aku migrain sikit. Aku syak sebab pagi tu aku penat uruskan hal dekat sekolah kut. Sebab tu petang tu migrain. Balik rumah terus kelaparan…mujur ler Meorsoleh tapaukan makanan tengahari. Nak masak, memang tak larat dah…duk fikir nak tido jeeee sebab mengantuk. Muizzuddin pun abahnye tolong amik dekat taska sebabnye mami migrain tak larat dah…terus krooh kroohh kroohhh lepas makan..hehehe..


Labels

Abah (6) AgingBooth (1) Analogi (1) Anniversary (4) Assignments (1) Baby (4) Banner (1) Bff (4) Birthday (12) Bolat (6) Cartoon (6) Ceremony (4) Certain Somebody (2) Cikgu (7) Creative Thinking (2) Cuti2 Malaysia (4) Deco Kelas (1) Derma Darah (1) doctor (1) Doodles (69) Edit Pic (2) Email Grab (4) Emaressem Perndunk (6) Exam (3) Experiences (1) Facebook (1) Family (25) Father's Day (3) Feeling (2) Font (1) Freebies (10) Fwens (10) Gaji (1) Grrr... (9) Gundah (1) Hahaha (11) Hantu (2) Hari Guru (3) Hari Raya (10) Hari Raya Haji (2) Honeymoon (1) Hotel (1) Insaf (2) Interview (5) Ipoh (1) Japanese Drama (2) Kelas Menjahit (2) Kerja (2) Konvo (1) Korean Drama (1) Korean Variety Show (5) Krabi (3) Kuching (3) Langkawi (1) Life (11) Life Quotes (3) Mak (4) Maskot Rumah Sukan Kuning (1) Matrix (3) Meor Muizzuddin (2) Meorsoleh (6) Mepek (10) Mother's Day (4) Movies (6) MPH (1) Muslimah Cartoon (4) My Big Day (2) My Youth (3) MyVi (1) New Year (4) Novel (1) On the Road (1) Perihal Belog (1) Posting (1) Pregnancy (1) Ramadhan (1) Random (7) Resepi (4) Rumah Kuning (2) Rumah Nuri (2) Running Man (9) S Memo (7) Sad (4) Science (2) Sekolah (34) Seram (1) Sketches (2) SPM (1) Spontaneous Thursday (4) Sports Day (1) Spring Trip (7) Sukantara (2) T-Shirt (3) Tagged (1) Tazkirah (2) Teacher's Day (2) Teka-teki (1) Tenet Tenat (1) Top 5 lagu (1) Trip to Korea (7) Trip to Thailand (2) Tutorials (2) UPSI (7) Vacation (13) Vector Images (1) Video (1) Wedding (8) Wedding Doodles (4) Winter Sonata (1) Wonder Girls (2) Wootmedia (1) Wordless Wednesday (19) Yoo Jae Suk (1)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...