[go: up one dir, main page]

Monday, February 28, 2011

:: Tiada Tajuk Utama...

Sekali lagi blog ini kelihatan sungguh huduh!

Aiseh, mane tah salah silapnya. Buat tak nampak ajelah yerk. Tuan tanah kedaung ni tengah tak ada mood untuk menghias cantek blog ini. Lagi digodeh, lagi cacamarba jadinya! Plus, sangat banyak yang mahu difikirkan.

Kepala kusut, emosi adakala ngam, adakala terpaksa berpura-pura, badan letih, jiwa kacau! Drastik!!! Segalanya drastik sungguh! Hanya itu yang mampu dijelaskan.

Kita hanya merancang, Allah jua yang menentukan. Ketentuan Allah adalah rahsia Allah. Semoga ada Nur dan Hikmah yang menanti anakku; Alisya Qaireen!

Kepada suamiku... terima kasih kerana 'melindungi' isteri dan anak mu. Saya sayang kamu!!!

Wednesday, February 23, 2011

:: Jurnal Kehidupan Insan Istimewa...

Alhamdulillah, aku masih berpeluang bernafas di bumi Allah. Masih dipinjamkan oleh-Nya untuk menemani dan menghiburkan hati ummi dan abi. Tiga tahun adalah satu jangka masa yang singkat bagi seorang anak yang normal, namun adalah satu perjalanan yang panjang bagi ku, seorang anak istimewa.

Lahir ku di dunia yang fana ini, banyak memberi keinsafan dan pengajaran kepada ramai orang. Ummi dan abi adalah insan yang sangat terkesan dan bertuah dengan kehadiran ku. Haruslah... kerana aku anak mereka. Anak yang serba kekurangan, anak yang ditakdirkan untuk hidup dalam seribu kepayahan. Namun, hati ini bersyukur kerana Allah meletakkan ku di bawah jagaan seorang ibu yang sangat tabah. Aku bersyukur lagi kerana diberi peluang untuk berlindung di bawah kasih sayang seorang ayah yang tiada penghujungnya. Meskipun diri ini tidak dapat memberikan kepuasan kepada mereka... tapi aku bangga punyai ummi dan abi yang teramat menyayangi ku. Cukup andai 'kebanggaan' itu ku rasai seorang diri.

Muka kekwat lagi eksen kerana menjadi anak Ita dan Farid.

Masih ku ingat, ketika aku di dalam rahim seorang wanita, seringkali wanita itu berbisik dengan ku. Seringkali aku mendengar kata-kata rindunya untuk melihat ku menerusi alat scan di klinik. Belaiannya menerusi dinding perut, membuatkan hati ini tertanya; Bagaimanakah rupa wanita yang mengendong ku ke hulu ke hilir ini? Siapakah dia? Apakah yang akan dia lakukan pada ku tatkala aku sudah keluar dari rahimnya kelak? Mampukah dia menjaga ku sebaik, sebagus dia menjaga ku ketika aku di dalam lingkungan air ketuban ini? Baikkah dia? Dengan siapakah lagi aku akan ditemani? Mahukah dia sentiasa bersama ku dalam senang atau pun susah? Apakah yang harus ku panggil wanita ini? Dapatkah dia menerima ku seadanya?

Takdir untuk ku menemui insan istimewa ini sudah ditentukan Allah. Alhamdulillah, aku dapat juga menatap wajah wanita ini walaupun kelahiran ku penuh dengan keperitan dan kesulitan. Itu bukan pinta ku, bukan juga pinta wanita ini. Segalanya telah tersurat. Aku sudah berjanji dengan-Nya, walau dalam senang atau susah... aku tetap mahu berada bersama wanita yang mengandungkan ku selama 9 bulan 10 hari ini. Aku tetap mahu di bawah jagaan dia. Wanita yang sangat ku sayangi dan kasihi itu adalah ummi ku!!! Di sisi ku pula... ada seorang lagi insan yang sangat ku sayangi, yang setia menemani ummi ku walau dalam apa jua keadaan. Dan dialah abi ku!!! Mereka juga umpama harta yang tak ternilai, kurniaan Yang Maha Esa agar aku terus bernafas di dunia ini.

Inilah abi ku. Bakal seorang bonzer dangdut!
Ada brannn ke nak usik dia???


Aku sedar... aku hanya insan kerdil yang dianugerahkan Allah untuk pinjaman ummi dan abi. Ummi dan abi juga pinjaman buat ku berteduh. Hidup ku serba kekurangan... Hidup ku tidak seperti anak-anak normal di luar sana yang sentiasa menghiburkan hati ibu dan ayah mereka dengan telatah yang comel. Yang ku tahu, hidup ku bersama ummi dan abi penuh dengan ujian... Penuh dengan linangan air mata yang tak bertepi. Adakah lahir ku semata-mata untuk mengundang keresahan ummi dan abi? Adakah lahir ku hanya kerana pandai menangis tanpa sebab yang munasabah? Adakah lahir ku untuk menyusahkan hidup ummi dan abi? Tidak!!! Ummi seringkali berbisik dengan ku... "ummi sayang kamu nak!". Cukuplah dengan kalimah tersebut, ianya sudah penuh erti buat ku. Yang penting, aku tahu... ummi dan abi sudah lama redha dengan takdir kami ini.

...♪♫ ..... Tidak ku pinta, lahir ke dunia... Tidak ku duga cacat begini... Bukan ku minta, kasih dan manja... Bukan ku rayu bantu simpati..... ♪♫...

Ummi, sungguhpun ummi selalu cakap
muka ummi macam jalan tar, Alisya tetap sayang ummi!


Aku hanya ada ummi dan abi yang memahami setiap inci perilaku ku. Aku hanya ada mereka yang membela nasib ku. Syukur juga... kerana masih ada insan lain yang sudi memberi ruang kepada ku, anak istimewa yang hanya selalu mengundang duka. Pada mereka yang sudi menyayangi diri ini, hanya doa ku pohonkan agar Allah membalas jasa baik kalian. Kalian juga penyuntik semangat pada ummi dan abi untuk terus membesarkan ku. Aku bertuah kerana punyai teman senasib yang seringkali menghiburkan apabila kami bersama. Aku bersyukur punyai mama, papa, ibu, ayah, mummy, daddy, atok, nenek, wan serta sekalian saudara-mara yang menerima kehadiran ku seadanya. Terima kasih semua!

Jika diberi pilihan... pasti aku juga tidak mahu dilahirkan sebegini. Apa lagi ummi dan abi, kasihan mereka... seringkali terpaksa menanggung rasa tatkala membawa ku berjalan-jalan melihat keindahan dunia. Aku tahu, adakala ummi dan abi cuba sedaya mungkin untuk mempertahankan diri ku daripada menjadi umpatan mata-mata yang memandang. Pada ummi, abi... maafkan adik kerana kalian terpaksa menerima kepayahan ini semua. Kalian terpaksa berdepan dengan pelbagai masalah dan kerenah anak mu ini. Terima kasih kerana memahami hati anak mu yang juga mahukan kehidupan senormal orang lain. Terima kasih kerana tidak jemu, malah tidak pernah jeran membawa adik berjalan ke sana sini walaupun ummi, abi sering menerima 'tamparan' yang hebat. Adik juga mahu mengecapi kebahagiaan serta nikmat punyai ummi dan abi yang sangat-sangat menyayangi adik. Alisya bangga menjadi anak kamu!

Lahir ku penuh lengkap dengan pakej kekurangan akal fikiran. Lahir ku diserikan dengan penyakit Cerebral Palsy. Lahir ku disusuli dengan ketidakupayaan diri. Lahir ku diiringi dengan kehampaan. Namun... apakah dosa ku pada mereka yang tidak pernah sekali pun menjaga ku? Apakah dosa ku pada mereka yang tak pernah sekali pun aku menumpang di dalam rahim mereka? Ya, lahir ku dikurniakan dengan kecatatan otak, tapi tidak dengan kecatatan hati dan perasaan. Allah tetap beri ku perasaan yang sama seperti orang lain. Perasaan yang adakala tersentuh, terhibur, terharu seperti yang mereka rasa. Jika mereka berasakan payah dengan kehadiran ku, cukuplah andai aku dipayungi Illahi serta dilindungi ummi dan abi. Aku juga makhluk Tuhan yang mahu merasa segala nikmat dunia sebelum urusan pinjaman ku berakhir.

...♪♫ ..... Maafkan wahai teman... Ku menumpang, di sudut dunia... Mencari ketenangan, sampai masa ku pergi jua..... ♪♫...

Tuesday, February 08, 2011

:: Alisya, Cica, Sarra & Dedek...

Sekadar mencoret cerita Alisya, seminggu di kampung halaman.

Alisya sebagai Cica; Panggilan untuk anak ini ketika di Seremban. Kelakuannya baik-baik sahaja. Dari Ahad hingga Khamis kami melepet-lepet di rumah Wan Ton. Abi bercuti sakan, ummi harus bekerja. Cica? Sangatlah seronok ketika berada di Seremban. Sebabnya, setiap saat, setiap minit anak ini ditemani oleh Wan nya, sama-sama tidur duduk, sama-sama menyanyi. Wan Cica cakap, Cica 'menyahut' nyanyian Wan. Kedengaran ada bunyi-bunyian keluar dari mulut anak ini apabila Wan kusyuk menyanyi. Walaupun sangat halus bunyinya, itu satu lagi perkembangan Cica! Senyuman pula, sedikit pun Cica tak simpan, tak lokek. Hampir setiap masa dia mahu tersenyum sahaja!

Alisya sebagai Sarra; Cerita di kampung Melaka pula. Dari Khamis hingga Ahad. Waaahhh!!! Dah namanya orang Melaka, memang gebaulah jadinya! Kat Melaka, (ummi dah tukau bahasa daaa..) anakku dipanggil Sarra. Kejapan dah bertukau nama! Tak kisahlah, asalkan anak ini tahu itu adalah dia. Sana sini kedengaran nama Sarra disebut-sebut. Memang suka lah anak ummi ni. Lebih-lebih lagi ada Kak Aleeya yang sukarela menjadi 'tukang jaga' dak Sarra ni... lagi lah dak Sarra ni menggeletis. Sebab dia tahu dia tidak keseorangan. Andai di Melaka ada cawangan ofis ku, dah lama aku menetap di kampung sahaja. Bukan kerana belanjawan yang murah, tapi memikirkan Sarra ada teman sepanjang masa. Ternyata, anak ini memang gemar dengan keadaan yang hingar-bingar. Asyik tersenyum sendirian tatkala berada di rumah Nek Cha nya. Pendek cerita, ummi dan abi tidak perlu risau akan mood anak ini, sebab confirm 'mesra rakyat'!.... Hahahaa!!!

Alisya sebagai Dedek; Mana lagi kalau bukan di Ibu Daycare. Hari ini anak ummi kembali ke rutin harian, duduk di rumah ibu... petang nanti ummi jemput kembali. Entah macam mana agaknya anak ummi hari ini. Meragamkah? Masih tersenyumkah? Merengek mengada-ngadakah? Wallahualam...

Yang pastinya, aku dan abang dapati Alisya semakin kerap mengeluarkan bunyi. Walaupun bunyinya adakala kedengaran halus sangat... akan tetapi kami tahu Alisya masih mencuba untuk berinteraksi dengan kami. Senyuman Alisya pula, makin senang untuk kami tatapi. Anak ini sudah murah dengan senyuman. Sangat membahagiakan. Hanya menunggu Alisya terkekek-kekek, mengilai tawa bersama dan berbalas cakap dengan ummi dan abi. Oh anak ummi, akan ummi tunggu detik itu... walaupun 1000 tahun lagi!!!

** Berat badan Alisya nampaknya semakin naik. Semakin berisi. Alhamdulillah, harapnya semakin menembam anak ummi ni. (takut nak cakap lebih-lebih, sebab memang pantang untuk ditegur!)

Wednesday, February 02, 2011

:: Sudah 3 Bulan Rupanya...

Apakah? Adakah? Ohhh... bukan berkaitan tambahan ahli keluarga, tetapi perihal lain. Andai aku mengadakan contest perihal tajuk ini, pasti ramai menjawab berkisar 'adik' Alisya. Hehee...

Bukannya berkenaan 'adik' Alisya, akan tetapi berkenaan pemanduan ku di Kolumpo ni sudah melepasi 3 bulan rupanya. Sungguh cepat masa berlalu. Baru sahaja rasanya aku berkongsi cerita pengalaman ngeri ku men-driving semula ke ofis November lalu, lani sudah 3 purnama kebolehan drift ku itu. Ahahaaa... drift ke Cik Ita oi? Boleh lah tu, kot tak... tak kan sampai nak terberak rasanya bila kene naik tingkat 20!!!

Aku sendiri tak tahu mana datangnya kekuatan untuk semua ini. Dari hanya memandu sejauh 2 kilometer, yakni dari ofis abang ke ofis ku... kini sudah menjangkaui puluhan kilometer. Paling jauh dari Behrang ke Sg Buloh! Dari hanya tahu bermain dengan gear 1-4, kini sudah teror mencuba hingga ke tahap gear 5! Dari hanya tahu 1 jalan untuk ke ofis dan pulang ke rumah melalui jalan yang sama, kini sudah berani meredah jalan yang lain pula! Semuanya kerana nekad!!!

Alhamdulillah, walaupun banyak sekali insiden-insiden cemas yang sememangnya menggelorakan perut ku ini, namun ku tabahkan jua demi tidak mahu menyusahkan abang dan diri sendiri! Kereta bermasalah? Jangan cakaplah... ada sahaja yang tak kena dengan NBD kami. Sehingga satu masa kami terpaksa menukar NBD ke NAE pula! Dah nasib badan kot, cuma bersyukur sebab segala kesulitan yang dilalui bersama NBD tidak melibatkan kesusahan yang melampau, mahupun dalam keadaan lebih memeritkan. Itulah namanya kalau nak hidup di kota Kolumpo ni. Bukan di Kolumpo sahaja, di mana-mana pun sama. Segala onak-duri yang dilalui sememangnya mematangkan diri dan fikiran. Hanya tawakaltulillah yang perlu diutamakan! Wallahualam!!!