[go: up one dir, main page]


"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Politik Melayu Islam: Mentafsir kata-kata PAS dan Umno

Mohsin Abdullah

Kenyataan politikus memerlukan interpretasi sendiri selari dengan tajuk artikel ini.

Ikut logik betul juga Zahid Hamidi dalam soal ini. Begini.

Rasanya ramai sudah baca laporan media 13 Jan lalu mengenai presiden Umno itu mengimbau apa yang pernah diluahkan Allahyarham Nik Aziz Nik Mat selaku mursyidul am PAS suatu masa dulu.

Saya imbau apa yang Zahid imbau. Kata Zahid ‘ada rakan daripada PKR dan Amanah hadir di sini apabila Allahyarham Nik Aziz menyebut Umno jika suatu ketika nanti meletakkan asas Islam dalam perlembagaannya, PAS akan dibubarkan’. Zahid anggap kata-kata itu sebagai wasiat.

Seterusnya kata Zahid ‘apabila saya ambil alih kepimpinan Umno perkara utama saya lakukan adalah meletakkan soal Islam dalam Perlembagaan Umno’. Beliau merujuk pindaan perlembagaan parti pada 2019.

Dalam minda saya tertanya-tanya sebelum zaman Zahid atau lebih tepat sebelum pindaan 2019, Perlembagaan Umno tak Islam ke? Atau untuk lembutkan pertanyaan – sebelum pindaan 2019 soal Islam tidak diletakkan dalam Perlembagaan Umno ke? Adakah kerana itu Nik Aziz meluahkan apa yang Zahid anggap wasiat seperti disebut tadi?

Apa pun menurut Zahid, Umno tidak pernah menolak Islam dan ‘banyak berjasa dalam memartabatkan Islam melalui Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan’.

Sekarang, bak kata beliau soal Islam sudah ada dalam Perlembagaan Umno tetapi kata Zahid ‘PAS belum terbubar lagi. Harap akan terbubar dengan sendirinya’.

Saya ulang ikut logik. Betullah apa yang dikata si presiden Umno. Partinya sudah letak soal Islam dalam perlembagaan. Maka, tiba masa PAS menunaikan wasiat Nik Aziz menurut istilah yang digunakan Zahid. ‘Technically he is right’. Setahu saya apa yang terkandung dalam sesuatu wasiat mesti dituruti.

Bagaimanapun, bagi Naib Presiden Idris Ahmad, PAS (mahu pun Umno) tidak perlu dibubar sebaliknya kedua-dua parti boleh bersaing di pentas demokrasi selaras prinsip Malaysia negara demokrasi.

Kata beliau, PAS dan Umno boleh berlawan hujah, idea dan akhlak sebagai ahli politik dan menyerahkan kepada rakyat untuk menghakimi siapa yang lebih layak untuk dipilih.

Adakah kata-kata itu terutama apabila bila sebut soal ‘akhlak’ bermaksud PAS dan Umno mesti tunjuk siapa lebih Islam?

Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, pula menyentuh soal kata-kata Nik Aziz dahulu. Menurutnya ‘setiap kata-kata itu sesuai dengan zamannya’. Adakah itu bermakna beliau menyifatkan kata-kata Nik Aziz dahulu hanya sesuai pada waktu lalu maka PAS zaman ini tidak perlu menurutinya? ‘PAS now is not binded by the late Nik Aziz?’

Kata beliau lagi, kalau nak diambil hujah ucapan lama, bekas presiden Umno Najib Razak ‘pernah kata Melayu akan menjadi bangsat apabila Umno kalah’. Ucapan Najib dibuat pada 2015.

Dan kata Fadhli, Umno kalah pada 2018 dan tidak boleh dikatakan menang pada 2022 walaupun menyertai kerajaan hari ini. Lalu tanya beliau ‘soalan saya adakah Melayu sedang menjadi bangsat sekarang?’.

Adakah logik hujah beliau? Menyamakan kata-kata Nik Aziz dengan ucapan Najib? Ada persamaannya inti pati atau mesejnya? Terpulang interpretasi masing masing.

Fadhli juga berkata ‘baguslah Umno telah menukar dasar kepada Islam tetapi dengan situasi Umno berada dalam kerajaan dan boleh menukar dasar pada bila-bila masa seperti hari ini sangatlah lebih utama untuk PAS terus kekal berdiri’.

Adakah beliau mahu kata Umno akan tukar dasar suatu hari nanti? Tak ada dasar Islam? Sekarang beliau akui Umno sudah ‘tukar dasar kepada Islam (baguslah katanya) tetapi pada masa sama menegaskan PAS tidak akan dibubarkan dan saya kira dan amat yakin hayat politik PAS jauh lebih lama daripada Umno’. Ertinya, partinya akan terus lawan Umno dan menang?

Dalam pada itu, Presiden PAS Hadi Awang menerusi laporan Malaysiakini 19 Jan lalu memberi isyarat untuk menolak kolaborasi agung diilhamkan Umno yang hasratnya akan membabitkan semua parti politik dan NGO Melayu Islam.

Panjang lebar catatan Hadi. Namun, antaranya beliau berkata ‘segala perbincangan hendaklah datang daripada kalangan ilmuwan yang bertafaqquh dalam urusan Islam bukan melalui orang yang jahil’.

Bolehkah ditaksir beliau maksudkan perbincangan untuk adakan kolaborasi agung tidak dilakukan oleh ilmuan yang bertafaqquh? Sebaiknya oleh orang jahil?

Kata Hadi lagi ‘tidak juga melalui ilmuan yang tidak bertafaqquh atau yang meletakkan akalnya ke dalam perutnya?’ Jadi siapa yang boleh bincang soal kolaborasi itu? Bolehkah diertikan Hadi berpendapat hanya ‘ilmuan’ daripada partinya yang layak?

Menurut Hadi, PAS memilih perpaduan yang ‘mengikut ketetapan Allah’. Maksudnya perpaduan dijalin yang tidak membabitkan PAS atau bentuk perpaduan yang tidak dipilih oleh PAS adalah tidak ‘ikut ketetapan Allah?’

Saya sarankan kenyataan politikus dan dalam konteks penulisan ini Hadi, Idris dan Fadhli memerlukan interpretasi sendiri selari dengan tajuk artikel ini.

Oh seperkara lagi. Dalam catatan sama Hadi juga bercakap mengenai isu lama yakni perkara yang sudah berlalu. Beliau beri penjelasan mengapa PAS enggan bersama parti lain membentuk kerajaan perpaduan.

Alasan Hadi – kerajaan perpaduan yang dibentuk selepas PRU lalu turut melibatkan ‘syaitan bisu’. Siapa? Banyak parti dalam kerajaan perpaduan. Yang Melayu Islam dan yang bukan Melayu bukan Islam.

Menurut Malaysiakini, untuk rekod lazimnya label ‘syaitan bisu’ digunakan PAS ke atas kumpulan tertentu termasuk ilmuan agama yang tidak sependapat dengan mereka.

Ooo begitu…

Lawak pemimpin PAS

Dulu ‘negeri ini orang nak ambik dah’, kini majlis pecah tanah ‘haram’ guna bahasa Melayu

Harapandaily

Majlis pecah tanah dirasmikan pemimpin kerajaan negeri Kedah semalam dilihat menarik perhatian warganet.

Menerusi hantaran Exco Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr Haim Hilman Abdullah, terpampang tulisan Cina dan bahasa Inggeris pada batu asas serta latar belakang pentas.

Rata-rata menyindir kerajaan negeri Pas ekoran penganjuran majlis anjuran Novolyte Technology Sdn. Bhd. di Kulim Hi-Tech Park itu yang dilihat mengabaikan bahasa kebangsaan negara ini.

“Dah tak meroyan dengan tulisan Cina dah ke Pas? Dulu bukan main deras menyalak pasal tulisan Cina ni.

“Hebat ooo… ada tulisan jawi di layar perasmian… Kedah la 100% Islam Melayu dah… kepala bapak hang.

“Okay ke tulisan Cina ni? Tak bahaya bangsa Melayu?

“Orang lain buat semua salah, Pas saja buat semua betui,” demikian antara sindiran warganet pada hantaran Haim Hilman.

Malah, Haim Hilman dalam perkongsian ucapannya di hadapan pelabur China itu juga dilihat menggunakan bahasa Inggeris.
Untuk rekod, Novolyte Technology Sdn. Bhd. ditubuhkan pada Februari 2025 oleh syarikat berasal dari China, Capchem yang berteraskan bahan kimia elektronik dan bahan fungsional, khususnya elektrolit bateri untuk EV.
Susulan itu, netizen menyelar sikap pemimpin Pas berkenaan isu bahasa kebangsaan yang sebelum ini pernah membangkitkan isu penggunaan tulisan Cina semasa majlis pecah tanah projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Kuantan.

Exco Kerajaan Negeri Terengganu Dr Azman Ibrahim pada 2023 menulis, “Projek ECRL ini di Malaysia, bukannya di China. Tapi tulisan Cina lebih besar dan di atas Bahasa Malaysia”.

Ketiadaan bahasa kebangsaan dalam majlis pecah tahah di Kulim Hi-Tech Park semalam turut mengingatkan warnaget dengan ucapan lantang Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Ungkapan “negeri ini orang nak ambik dah!” yang pernah diucapkan Sanusi turut digunakan kembali oleh orang ramai sebagai sindiran terhadap pendirian pemimpin Pas berhubung penggunaan bahasa Melayu.

Pegawai imigresen didakwa rasuah, isteri guna wang haram beli emas

Malaysiakini 

Seorang Pegawai Imigresen Gred KP 22 hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Shah Alam atas 53 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah RM789,100 manakala isterinya didakwa menggunakan wang hasil aktiviti haram untuk membeli emas.

Mohamad Fazli Abdul Rahim, 46, berdepan 42 pertuduhan menerima suapan wang berjumlah RM510,500 menerusi pindahan dalam talian daripada seorang warga asing serta melalui syarikat dan akaun bank milik seorang wanita tempatan.

Suapan itu didakwa sebagai upah untuk melepaskan kemasukan warga asing tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan oleh jabatan itu.

Mohamad Fazli didakwa melakukan perbuatan itu di dua cawangan bank di Subang Jaya dan Telok Panglima Garang, Selangor antara 4 Feb 2023 hingga 26 Ogos 2024 mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Jika sabit kesalahan, Mohamad Fazli boleh dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Pegawai Pendakwa SPRM Muhammad Arif Asyraf Mohd Khairi menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin namun peguam Mohamad Zahid Ahmad memohon jumlah ikat jamin yang rendah.

Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri ke pejabat SPRM berdekatan selain tidak mengganggu saksi pendakwaan, dan menetapkan 10 Mac depan sebagai sebutan semula kes.

Mohamad Fazli juga mengaku tidak bersalah atas tujuh pertuduhan memindahkan wang berjumlah RM278,600 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram daripada satu akaun bank sebuah syarikat kepada tiga individu di dua bank yang sama antara 2 Julai 2022 hingga 19 Ogos 2024.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak lebih 15 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram itu atau RM3 juta mengikut mana lebih tinggi.

Mohd Nasir membenarkan Mohamad Fazli menggunakan ikat jamin RM24,000 dengan dua penjamin seperti yang diputuskan oleh Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Terdahulu, di hadapan Awang Kerisnada, Mohamad Fazli mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan menerima rasuah RM10,400 sebagai dorongan untuk membenarkan kemasukan warga asing tanpa prosedur mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

Isteri tertuduh, Suhana Ismail, 44, yang juga Pegawai Imigresen Gred KP 22, turut didakwa di hadapan Awang Kerisnada atas tujuh pertuduhan menggunakan wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM125,850 untuk membeli emas.

Suhana minta dibicarakan atas semua pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta 613 yang didakwa dilakukannya di sebuah bank di Telok Panglima Garang, Kuala Langat antara 12 Ogos 2023 hingga 27 Feb 2024.

Mahkamah membenarkan Suhana, yang turut diwakili peguam Mohamad Zahid, diikat jamin RM40,000 dengan dua penjamin dan menetapkan 10 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes pasangan suami isteri itu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM Mohd Alimi Mustapha.

- Bernama