Salam imtihan untuk pelajar tahun 1 dan 2

ISMA INDIA ingin mengucapkan Salam Imtihan kepada pelajar-pelajar tahun ke 2   IMS-MSU Bangalore yang akan menduduki peperiksaan akhir bermula esok dan juga kepada siswa dan siswi tahun 1 yang sedang menjalani peperiksaan akhir mereka juga yang bermula semalam.

Semoga mereka diberikan kekuatan dan kemudahan sepanjang peperiksaan ini oleh Allah SWT. Semoga apa yang dicita-citakan dapat dicapai selaras dengan tercapainya keredhaan Allah dalam apa sahaja dugaan dan ujian yang diberikan kepada hambaNya. Usaha dan doa telah mereka curahkan. Bersama-sama kita berdoa demi kejayaan siswa dan siswi bersama. Semoga Allah bersama setiap di antara kita. Semoga juga Allah mengembalikan ilmu yang diajarkan kepada kita di saat kita memerlukannya. Mintalah dariNya kerana segala-galanya adalah aturan Allah SWT. Berserahlah kepadaNya dengan sepenuh hati kita.

Berusahalah bersungguh-sungguh kerana tiada kejayaan yang datang bergolek. Berdoa dan mintalah kepadaNya kerana kepadaNyalah semua tempat bergantung. Bertawakallah dan serahkanlah segala-galanya kepada Allah kerana Dialah sebaik-baik penentu.

“Distinction for Ummah”

Bittaufiq wannajah fil imtihan

Majlis Iftar dan Solat Hajat Siswi Tahun 1

Bangalore,10 Ogos 2011- Memasuki fatrah imtihan di sepanjang bulan Ogos ini, Biro Dakwah Dan Aktiviti telah menganjurkan Majlis Iftar dan Solat Hajat bagi siswi Tahun 1 yang akan menduduki peperiksaan akhir tahun 1 bermula 16 Ogos 2011.

Kemeriahan majlis bermula dengan ketibaan siswi seawal jam 6 petang. Majlis yang diadakan di Bait At-Takdeeb berjaya mengumpulkan kira-kira semua siswi tahun 1 bagi menjayakan program iftar dan solat hajat ini. Berkumandangnya azan pada jam 6.44 petang menandakan waktu berbuka puasa bagi daerah Bangalore. Kami berbuka puasa dengan kudapan ringan sebelum solat maghrib bersama-sama dan disusuli dengan solat hajat memohon doa moga Allah mudahkan segala urusan dalam menghadapi medan imtihan.


Selepas solat maghrib, para siswi dihidangkan dengan sedikit jamuan berbuka puasa. Selesai majlis iftar, masa terluang yang berbaki diisi dengan tazkirah ringkas yang disampaikan oleh salah seorang akhawat dari biro dakwah dan aktiviti. Tazkirah yang ringkas tetapi padat dengan peringatan dan kata-kata motivasi diharap dapat membantu menaikkan semangat siswi tahun 1 untuk terus berjuang di medan ilmu.

Antara intipati tazkirah yang disampaikan adalah mengenai  tips-tips cemerlang dunia akhirat berpandukan surah Al-Mu’minun. Konsep yang boleh diambil dalam konteks ‘muslim student’s life’ ialah supaya sentiasa belajar dengan berdisiplin, menepati masa, tidak berlengah-lengah, menjaga kualiti dan produktiviti harian kita. Jika sebelum ini kita diingatkan supaya berhenti menulis apabila tamat masa peperiksaan, kita juga perlu memulakan perjuanganan kita dalam pelajaran dan peperiksaan seawal yang mungkin. Memelihara solat lima kali sehari setiap hari juga mengajar kita untuk tidak berputus asa atau berpatah arang di pertengahan jalan. Namun siswi tahun 1 diingatkan agar janganlah hanya mengaplikasikan konsep-konsep ini untuk akademik semata-mata. ‘Highlight’ utama adalah supaya kita menjaga hubungan kita dengan Allah kerana kita akan kembali mengadapNya dengan amal-amal kita, bukan dengan berapa gulung ijazah yang berjaya kita perolehi. Belajar dan ijazah hanyalah alat untuk kita mencapai keredhaan Allah dan merebut peluang mewarisi syurgaNya.

Majlis tamat kira-kira jam 8.15 malam sebelum siswi bergerak menuju ke surau bagi menunaikan solat isyak dan solat tarawikh.

Kami dari Biro Dakwah dan Aktiviti Isma India mengucapkan selamat menduduki peperiksaan akhir untuk mahasiswa dan mahasiswi tahun 1 dan tahun 2 IMS-Bangalore. Moga setiap usaha dan doa dibalas oleh Allah dengan kecemerlangan dunia dan akhirat,insyaAllah..bittaufeeq wannajah fil imtihan.

“Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keridhaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang berbuat kebaikan.”(Ankabut: 69)

Disediakan oleh,

Biro Dakwah dan Aktiviti ISMA India

Takziah untuk Saudari Syamimi dan Keluarga

Assalamualaikum wbt…

Dikesempatan ini, ISMA India ingin mengambil peluang mengucapkan takziah buat saudari Siti Nur Syamimi binti Mohd Asaad (pelajar tahun akhir IMS-MSU Bangalore) dan sekeluarga atas ujian Allah yang menimpa nenek beliau beberapa hari lepas.

Kami berdoa dan berharap agar Siti Nur Syamimi dan keluarga tabah dan sabar dengan ujian yang menimpa.

Menurut sumber, nenek beliau disahkan mengalami ‘stroke’ dan ‘hemiplegia’ beserta ‘hip fracture’ sewaktu di tempatkan dalam hospital di Kuala Lumpur baru-baru ini. Alhamdulillah keadaan nenek beliau semakin pulih.
Marilah kita sama-sama mendoakan agar segera diberi kesembuhan serta dianugerahkan Allah kesabaran atas apa yang berlaku.

Takziah untuk Saudari Fazehan dan Keluarga

ISMA India di kesempatan ini ingin mengucapkan takziah kepada saudari Nor Fazehan Khairudin(pelajar perubatan semester ke-7 KMC Mangalore) serta keluarga atas ujian yang menimpa adik beliau semalam. Kami berdoa dan berharap agar Nor Fazehan Khairudin dan keluarga tabah, cekal dan sabar dengan ujian yang menimpa.

Menurut sumber, adik beliau mengalami pendarahan otak akibat kemalangan dan telah dikejarkan ke dewan bedah. Marilah kita berdoa agar segera diberikan kesembuhan serta dianugerahkan Allah kesabaran atas peristiwa yang berlaku.

Ramadhan: Bulan nafsu dihenyak dan dipijak

Ramadhan bakal menjengah kita lagi. Pada hari artikel ini ditulis kita hanya tinggal 15 hari lagi sebelum menjelmanya bintang Ramadhan.

Apa ada pada Ramadhan? Ramadhan digelar orang melayu sebagai bulan PUASA. Juga dikenali oleh orang islam secara amnya sebagai bulan untuk meningkatkan ibadah. Suasana malam pada malam-malam Ramadhan berubah secara mendadak di negara-negara orang Islam dengan wujudnya solat terawikh. Jika anda ke Mesir, 10 malam terakhir adalah seperti pesta tahajjud di mana si ayah membawa satu keluarga ke masjid untuk bertahajjud. Itulah Ramadhan secara ringkas. Pasti ramai hati-hati yang sedang merindui suasana ini dan tidak sabar-sabar untuk menanti kehadirannya.

Ramadhan itu bulan tarbiyyah

Pengalaman pertama puasa di zaman kanak-kanak adalah pengalaman yang pasti diingati ramai. Kita masih ingat akan betapa lembiknya kita berpuasa. Ada yang puasa setengah hari, ada yang puasa dari makan sahaja, tapi dibenarkan minum. Malah tidak kurang yang mendapat upah wang 50 sen satu hari kerana berjaya puasa.

Itulah PUASA… ia sengaja disyariatkan Allah untuk mendidik kita… atau bahasa yang lebih kasar tetapi tepat, puasa itu disyariat untuk menyeksa perut kita dari makan. Ia disyariatkan sedemikian rupa supaya kita berasa lembik di penghujung hari, supaya badan kita merasa sakitnya perut di kala lapar. Malah untuk puasa itu sempurna ditambah lagi syarat-syarat lain seperti menundukkkan pandangan, menjaga mulut, menghindari perkara lagha dan sebagainya. Memang ia sebuah bulan yang menyeksakan fizikal dan batin.

Ramadhan bulan nafsu ditelanjangi

Itulah Ramadhan… bulan PUASA, bulan Ibadah. Bulan di mana nafsu kita ditelanjangi, diterajang, dilaparkan. Sesuai dengan penerangan Nabi SAW tentang sifat semulajadi nafsu.

Sabda Baginda SAW:

”Apa pandangan kamu tentang teman yang jika kamu muliakan, kamu jamu dan kamu berikannya pakaian, dia membawa kamu kepada kesudahan yang buruk. Dan jika kamu hina, kamu bogelkan dan kamu biarkannya kelaparan, dia membawa kamu kepada kesudahan yang baik?” Para sahabat menjawab: “Wahai Rasulullah, inilah teman yang paling jahat di muka bumi.” Sabda Nabi SAW.: “Demi Tuhan yang diri saya berada dalam genggaman-Nya, ia adalah jiwa/nafsu kamu yang berada di dalam diri kamu.

Dalam bulan Ramadhan nafsu kita dibiarkan lapar. Keinginan nafsu kita untuk melihat perkara tidak senonoh dibiarkan tergantung, bujukan nafsu untuk mengeluarkan kata-kata kesat dibiarkan terkontang-kanting. Malah disarankan untuk kita menghenyak nafsu tidur dengan memaksa diri untuk bangun malam bertahajjud mengejar lailatul qadar. Ditambah pula dengan latihan fizikal berdiri berjam-jam untuk solat tarawikh.

Inilah dia bulan tarbiyyah

Nah! Itulah baru dikatakan sebagai bulan tarbiyyah! Bulan di mana nafsu kita dididik secara fizikal. Dididik ala dididikan militer. Dikawal sedemikian rupa agar akhirnya ia tunduk dengan kita. Apabila nafsu tunduk pada kita, kita akan bebas untuk tunduk kepada Allah SWT. Seperti bunyinya bait syair  Walid al-A’zhami:

Apabila hati tidak terikat dengan Allah

Maka, ia akan berkelana bersama hawa nafsu

Kebebasan yang bernama ikatan,

Atau kekacauan dan kebingungan yang bernama kebebasan?

Bersediakah kita?

Persoalannya, adakah kita sudah bersedia menghadapi ramadhan? Jihad melawan nafsu adalah jihad yang sangat meletihkan. Jika kita tidak bersedia dari sekarang, ramadhan akan berlalu begitu sahaja tanpa kita sempat berusaha mendidik nafsu kita dengan keras.

Masih berbaki 12 hari lagi sebelum Ramadhan menjelma. Ayuh mula dari sekarang. Tingkatkan tilawah kita, latih diri berpuasa, latih diri bangun lebih awal, penuhkan surau di kala subuh, ringankan tangan untuk bersedekah, lebarkan senyuman, rapatkan ukhuwwah.

Ahlan wa sahlan ya Ramadhan.

“Membina Generasi Harapan”

Anas Aminin W M Izzuddin

Timbalan Pengerusi ISMA India

Siri Pendakian Akhawwat – Makalidurga Hill

Bangalore, 26 Jun 2011– Seramai 24 orang akhawwat telah mengikuti aktiviti pendakian yang dianjurkan khusus untuk akhawwat ISMA India yang bertempat di Makalidurga Hill yang berada  60 km jauhnya dari Bandar Bangalore. Bertolak sekitar jam 10.00 malam dari Gokula, di mana kediaman akhawwat terletak di situ. Dengan kenderaan berupa van sebanyak 2 buah telah digunakan sebagai suatu alternatif untuk tiba di kawasan pendakian yang mengambil masa lebih kurang 2 jam perjalanan. Setibanya di situ, akhawwat semua telah diagihkan setiap seorang ‘sleeping bag’ dan juga diberikan sedikit taklimat ringkas oleh juru daki yang diupah khas untuk aktiviti ini.

Aktiviti pendakian bermula seawal jam 12 malam. Perjalanan pendakian mengambil masa selama lebih kurang 2 jam setengah. Sesekali kami berhenti rehat seketika mengambil rehat mengumpul kembali semangat dan kekuatan untuk meneruskan pendakian. Alhamdulillah, akhirnya kami tiba ke puncak sekitar jam 2.30 pagi. Terasa angin perbukitan menyapa kesejukannya sehingga ke tulang rusuk kami. Dengan berbekalkan ‘sleeping bag’, kami bermalam di atas puncak itu. Subuh paginya menggerakkan kami untuk bangun solat berjemaah bersama serta membaca mathurat bersama. Tidak dilupakan juga kami membina kekuatan rohani bersama dengan perkongsian tazkirah pagi oleh akhawwat ISMA India sendiri.

Tazkirah yang bersemangat dari beliau amat membuka mata antara kami. Dengan meletakkan perjuangan Islam sebagai matlamat yang amat besar dalam kehidupan dalam mencapai pengakhiran yang diredhai Allah telah membuatkan diri terasa terpanggil menyedari kepentingan dan kewajipan yang perlu direalisasikan oleh pemuda kini iaitu kita semua. Alhamdulillah, semoga sentiasa bermanfaat.

Berada di puncak Makalidurga Hill, terasa rugi andai tidak menghayati keindahan alam semulajadi ciptaan Allah ini. Ramai antaranya sudah bersedia dengan kamera masing-masing mengambil foto sebagai kenangan yang membuktikan di sinilah ukhuwwah kami diperkukuhkan. Alhamdulillah. Kemudian setelah semuanya selesai, sesi mengemas bermula dan akhawwat semua sudah bersedia untuk mendaki turun semula menuju ke kaki bukit. Lebih kurang jam 10.00 pagi , kami tiba di kaki bukit. Kelihatan wajah gembira dan kepuasan terpancar pada wajah-wajah insan yang berjaya merealisasikan pendakian ini.

Kami bersarapan dan seusai bersarapan, kami ke tasik berdekatan untuk aktiviti berakit pula. Solat Zohor didirikan secara berjemaah sebelum kami pulang semula ke kediaman kami di Gokula. Kepenatan terpancar di setiap wajah akhawwat namun sarat dengan pengalaman telah dikutip dari siri pendakian ini. Syukur Alhamdulillah, ucapan setinggi-tingginya kepada Yang Maha Berkuasa kerana melancarkan segala-galanya. Kepada Dia sahaja kita berserah. Semoga dengan pendakian ini, ukhuwwah yang terjalin dikukuhkan lagi dan semangat memperjuangkan Islam itu terus membara.

Membina Generasi Harapan

Disediakan oleh,

Unit Media ISMA India

Pusingan Waktu

Pusingan Waktu

 

Detik terus melangkah
menyusuri waktu
setia, tanpa merungut.

Hari semalam terus menjadi imbauan silam lampau,
terasa baru seketika ia berlaku
hangat masih terasa, dingin masih berbekas
namun itu hanya khayalan.

Aku bagaimana?
Masih berada di takungan yang lama,
atau terus kehadapan walau setapak?
Berundur harap bukan ianya terjadi.

Taatnya engkau duhai masa
umur mudaku sudah engkau telan
menjadi tua bukan harapanku,
belum ada sumbanganku terhadap agama
kerana engkau sering ku biarkan berlalu pergi.

Nafas sudah dikerongkong
penyesalan terbayang di lubuk fikiran
dunia melambai pergi
alam barzakh menyambut datang
apa harus ku jawab kepada Penciptaku sekarang?

Aktivis ISMA India

Israk Mikraj penguat iman dan taqwa

Katakan (kepada mereka), ‘Kamu lihatlah apa yang terdapat di langit dan di bumi’..”(Surah Yunus:101). Dari 2 butir pasir di bumi hingga apa sahaja termasuk planet saling menarik antara satu sama lain dengan nilai tetap yang sama di mana-mana alam ini, G = 6.67428 × 10E(-11) m3kg-1s-2 dalam formula F = Gm1m2/r(2) !! Subhanallah !!

Kini kita berada bulan Rejab. Di dalamnya berlaku peristiwa Israk Mikraj yang bersejarah. Peristiwa tersebut bukan sahaja menunjukkan kekuasaan Allah swt di atas sekelian makhluqNya dan benarnya kenabian Muhammad saw, bahkan ianya juga membuka ufuk pemikiran dan cita-cita manusia sejagat dari hanya sekadar terhad kepada muka bumi ini semata-mata kepada keluasan cakerawala ciptaan Allah swt yang amat luas dan jauh, siap untuk diamati untuk lebih kita mengenali Tuhan Pencipta Agung, siap untuk diterokai agar manusia memperlengkap dan meninggikan kualiti ilmu pengetahuan demi memenuhi cita-cita tersebut.

Setelah kewafatan Khadijah ra, pendokong moral dan material perjuangan Baginda saw dan kewafatan Abu Talib, pelindung Baginda saw dari ancaman fizikal oleh kafir Quraisy pada Tahun Kesedihan, Dakwah Islam berada di posisi paling tenat di segi saikologi Nabi saw dan para Sahabat ra sendiri, maupun di segi tiadanya kemasukan baru ke dalam agama Islam dari kalangan penduduk Mekah. Dengan azam tidak menyerah kepada keadaan, Baginda saw mencuba nasib, mencari peluang baru untuk Dakwah ini di Taif, 80 km dari Mekah, namun harapan dan sangkaan Baginda saw meleset.

Di Taif, Dakwah tidak diterima, Pendakwah dihina dengan dibaling batu oleh penduduknya. Pintu Dakwah di tahun ini hampir tertutup. Namun Allah swt melalui Surah Huud, mengarahkan Nabi saw terus beristiqamah menjalankan amal Dakwah ini meredah fasa-fasa gelap yang sedang menyelubunginya, tanpa isteri yang mendorong dan tanpa bapa saudara yang melindung. “Shayyabatni Huud” (Surah Huud telah mengubankan rambutku !!).

MasyaAllah !! Setelah 9 bulan perjalanan, Amerika menjejakkan alatnya di planet Marikh pada 25.6.2008 lalu dan hari ini menunjukkan fotonya kepada umat manusia di bumi. Tanah Marikh diambil dan dianalisa. Foto ini boleh tiba ke bumi dengan pantasnya, melalui perantaraan apa? Orang kafir sibuk meneroka alam baru sedang umat Islam pula sibuk melayan tuntutan Kuasa-kuasa Besar Dunia dan bercakaran sesama sendiri.

Allah swt tidak membiarkan Rasul Akhir Zaman berpanjangan dalam kemuraman seperti itu. Dakwah ini harus dipacu hingga berjaya bukan sahaja di Mekah, tetapi ke seluruh dunia, merangkumi sekalian jin dan manusia. Pada malam 27 Rejab ~620M, Jibril mengejutkan Rasulullah saw dari lamunan malam dan mengisyaratkan kepada Baginda saw bahawa kenderaan Buraq telah siap di luar sana untuk membawanya ke Masjidil Aqsa di Palestin, naik meredah 7 petala langit, ke Sidradul Muntaha melalui Baitul Makmur, memenuhi undangan Allah swt. Di Masjidil Aqsa Baginda bersolat mengimami kesemua para rasul, melihat bandar Baitul Maqdis, memilih susu dan menolak arak. Di langit, Baginda bertemu sebahagian para rasul, diperlihatkan gelagat penghuni-penghuni Syurga dan Neraka serta tanda-tanda kebesaran Allah swt yang lain. Di Sidratul Muntaha, Baginda diwahyukan Allah swt apa yang hendak diwahyukan olehNya, termasuk kewajipan Solat, ibadah yang paling utama.

Tidak seperti roket yang hanya dipakai buang sekali sahaja di setiap pelancaran dan operasi, “space shuttle” berjaya dicipta Amerika bertindak seperti teksi antara langit dan bumi, boleh diguna berulangkali. Setakat ini 4 buah space shuttle iaitu Columbia (dilancarkan pada 12.4.1981, tepat 20 tahun selepas Yuri Gagarin, manusia pertama ke angkasalepas), Challenger, Endeavour dan Atlantis telah dihasilkan. Tiap satu memakan belanja setahun budget seluruh negara sedang membangun di dunia.

Sekembalinya Nabi saw ke Mekah dari langit, kekuatan Baginda saw untuk berdakwah lebih kental. Segelintir orang Islam murtad kerana tidak dapat menerima hakikat boleh berlakunya peristiwa Muhammad saw pergi ke Palestin dan langit serta kembali semula dalam malam yang sama. Para Sahabat ra yang lain bertambah keyakinan dan kekaguman mereka kepada Nabi tercinta. Bagi Nabi saw pula, melihat sendiri kesudahan manusia di Syurga dan Neraka sudah cukup memberi motivasi penuh untuk menyelamatkan mereka di dunia lagi, sebelum mereka menempuh alam Pengadilan dan Pembalasan, belum lagi berpeluang menerima wahyu langsung dari Allah swt di Sidratul Muntaha. Tiga tahun selepas itu, keimanan baru, lebih tinggi dan teruji inilah yang menjadi asas kepada Hijrah dan penegakkan Negara Islam di Madinah.

Ini foto bersejarah kerana kali pertama foto bumi diambil dari angkasalepas (pada ketinggian 300 kilometer). Foto ini diambil oleh Yuri Gagarin, angkasawan Rusia dan manusia ketiga ke angkasalepas pada 12.4.1961, selepas Nabi Isa as (selepas percubaan membunuhnya) dan Rasulullah saw (dalam peristiwa Israk Mikraj).

Dari sinopsis ringkas peristiwa Israk Mikraj, dapat disimpulkan sebahagian pengajaran berguna untuk umat selepasnya dan kita seperti berikut :

  1. Kehebatan dokongan isteri, kerukunan rumahtangga adalah salah satu asas kejayaan dalam diri Pendakwah dan Dakwah itu sendiri.
  2. Perlindungan seperti yang diberi oleh sesiapa contohnya Abu Talib, biar pun dia bukan seorang Islam, adalah penting dalam memastikan Islam berkembang tanpa gangguan terutamanya di fasa awalnya.
  3. Kepentingan Masjidil Aqsa dan Palestin di dalam perjuangan Uslam dan umat.
  4. Dengan Nabi saw menjadi imam semua para Rasul yang lain di Masjidil Aqsa, hari ini dan selepas ini, umat Islam mestilah menjadi imam (pemimpin dan pembimbing) kepada umat-umat yang lain, dan bukan sebaliknya seperti yang berlaku hari ini. Umat Islam mesti bekerja ke arah itu.
  5. Solat adalah ibadah terpenting dalam Islam. Di Hari Kiamat, tidak dinilai amalan-amalan lain jika solatnya dinilai sebagai gagal.
  6. Iman pendokong-pendokong perjuangan Islam, termasuk para Sahabat ra akan terus menerus melalui proses penapisan, untuk membeza dan mengasingkan permata dari kaca.
  7. Negara Islam tertegak bila ada jemaah manusia yang bersedia memikul tanggungjawab tersebut dengan keimanan yang telah teruji seperti para Sahabat ra.
  8. Umat Islam dituntut melihat cakerawala dan kehebatan penciptaannya, bukan terhad atau terkongkong kepada apa yang ada di bumi sahaja.

Masjid Kubah Batu (Pelancaran), di tengah-tengah Masjidil Aqsa, Palestin. Di sini tempat pelancaran kenderaan Buraq membawa Rasulullah saw ke Sidratul Muntaha, menembusi 7 petala langit dan Baitul Makmur. Hari ini ia ditawan oleh Yahudi yang dilaknat Allah swt. Pembebasannya sebelum Hari Kiamat dijamin Allah swt. Bila ? Siapa pembebasnya ? Apa ciri-ciri mereka ? Bagaimana mereka dididik (dihasilkan) ?

Marilah kita sama-sama merai dan memperingati peristiwa bersejarah dan besar ini, dengan mengatur atau menghadiri ceramah mengenainya. Jauh lebih itu ialah mencedok pengajaran-pengajaran darinya untuk kehidupan berkeluarga bersama anak isteri dan perjuangan bersama-sama teman-teman yang beriman. Sekian.

Oleh: Ustaz Abdul Halim Abdullah,
Ketua Biro Dakwah,
Ikatan Muslimin Malaysia
Blog: Ini Jalanku

Salam imtihan!!!

Salam imtihan untuk ikhwah dan akhawwat India. Semoga dalam redha Allah sentiasa… DOA+ USAHA+ TAWAKKAL = KEJAYAAN

InsyaAllah! Amin…


Bekerjalah! Walaupun Kiamat seketika nanti

“ Sekiranya berlaku kiamat sedangkan di tangan salah seorang kamu ada benih tamar dan dia berupaya menanamnya sebelum kiamat. Maka hendaklah dia menanamnya, dengan itu dia mendapat pahala.” (HR: Al-Bukhari)

Pelik! Pelik! Hadis ini memang pelik!

Andaian kita

Apabila kita mendengar permulaan hadis ini, “ Sekiranya berlaku kiamat….”, kita sangka Rasulullah SAW akan menyambung sabdanya sebegini…

“… haruslah manusia beramal…”

“…haruslah manusia membersihkan jiwa dan perlakuan mereka..”

“… mintalah keampunan dari Tuhanmu, atas dosa yg dilakukan…”

“.. bertawajjuhlah kpd Allah dgn doa yg ikhlas agar dimatikan dalam keadaan iman dan diterima taubat dan dibangkitkan atas petunjuk…”

“..tinggalkanlah urusan dunia. Lakukanlah amalan akhirat, berzikirlah pada Allah…”

Alangkah leganya kita jika Rasulullah telah bersabda sedemikian.. jika berlaku kiamat, mintalah keampunan. Memang sudah menjadi fitrah manusia apabila dalam ketakutan dia akan melupakan dunia dan seisinya, malah fokus untuk mencari tuhannya. Dia akan merayu pada waktu itu juga agar dosa- dosanya yang keji itu diampunkan. Mereka terus lupa pada DUNIA..

TETAPI …

Rasulullah tidak bersabda seperti “Andaian kita” di atas…. Rasulullah SAW sebaliknya bersabda perkara yang amat menghairankan dan tidak terlintas di hati manusia… Continue reading