Mahsuri, Media Mulia santuni asnaf sempena ketibaan Ramadan fbpx
[go: up one dir, main page]

Mahsuri, Media Mulia santuni asnaf sempena ketibaan Ramadan

MUHAMMAD Irsyad Ilham Sophian (dua dari kanan) ketika menerima bantuan pada Jelajah Mulia Bersama Mahsuri Dagang di Nilai, Negeri Sembilan, Jumaat lalu. – UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sempena bulan Ramadan yang penuh keberkatan, Mahsuri Dagang Sdn. Bhd. (Mahsuri) dan Media Mulia Sdn. Bhd. (Media Mulia) tampil menyantuni golongan asnaf serta mereka yang kurang berkemampuan.

Menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR), empat penerima menerima sumbangan tunai sebanyak RM1,000 setiap seorang.

Selain itu, mereka turut menerima Kotak Kasih yang mengandungi produk Mahsuri serta barangan keperluan asas bagi
meringankan beban perbelanjaan harian.

Menurut Pengarah Hal Ehwal Luar Mahsuri Dagang, Mohd. Jazri Ikmal Hijaz, inisiatif tersebut bertujuan membantu golongan asnaf menjelang Ramadan selain menyuntik semangat agar mereka terus tabah menghadapi ujian
kehidupan.

“Kami berharap bantuan ini sedikit sebanyak dapat menambah selera mereka ketika menyediakan juadah, terutamanya untuk berbuka puasa nanti di rumah.

“Dalam masa sama, semoga usaha ini dapat menjadi inspirasi kepada syarikat-syarikat lain atau individu yang berkemampuan untuk turut bersama membantu masyarakat yang memerlukan,” katanya.

PERNAH MENANGIS TIDAK MAMPU BELI BARANG

Salah seorang penerima, Nur Fatihah Abdul Malik, 37, mengakui hidupnya sebagai ibu kepada 11 orang cahaya mata amat sukar.

Nur Fatihah berkata, akibat masalah kewangan yang membelenggunya dan keluarga, dia pernah menangis kerana tidak mampu memenuhi permintaan anak-anak.

“Sudah tentu saya penat menjaga anak-anak yang masih bersekolah, tapi saya tak boleh mengeluh. Alhamdulillah, sebelum ini hidup agak teruk tetapi kini lebih baik.

“Saya pernah menangis kerana anak ingin membeli sesuatu walaupun harga hanya 10 sen, tapi saya tak mampu. Bila kenang semula, memang mengalir air mata,” ujarnya.

DIUJI SUAMI MENGHIDAP PARKINSON

Sementara itu, Nor Fazlina Zazali, 33, berkata, kehidupannya berubah selepas suami disahkan menghidap penyakit Parkinson kira-kira enam tahun lalu.

Pada awalnya, suami masih mampu bekerja, namun kesihatannya semakin merosot sehingga menjejaskan punca
pendapatan keluarga.

Walaupun berdepan kekangan kewangan, Nor Fazlina berkata, dia tetap berusaha kuat demi anak-anak.

“Simpanan kami semakin susut untuk rawatan dan perbelanjaan harian. Sekarang kami fokus kepada rawatan Deep Brain
Stimulation (DBS) yang kosnya mencecah RM178,000.

“Melihat keadaan suami sebagai seorang isteri, sudah tentu saya sedih, tapi saya kena kuat kerana ada anak-anak. Kalau saya lemah, siapa lagi nak uruskan mereka,” katanya.

PERNAH ‘KOREK’ DUIT SYILING

Bagi anggota bomba sambilan, Muhamad Zamri Abu Bakar, 44, kehidupan serba kekurangan bukan perkara asing buatnya.

Muhamad Zamri hanya memperoleh sekitar RM1,300 sebulan dan cuba menambah pendapatan keluarga dengan mengambil upah memotong rumput serta melakukan kerja kampung.

Beliau yang turut menghidap penyakit jantung berlubang mengakui pernah berasa rendah diri sebagai ketua keluarga, namun tetap berusaha demi masa depan tiga anaknya.

“Anak sulung paling terasa. Dari kecil sampai habis sekolah, hari-hari bawa bekal. Tapi dia tak pernah merungut.

“Memang susah. Pernah sampai tahap pinjam duit raya anak. Pernah juga korek duit syiling untuk cukupkan belanja,” katanya.

GANTI AYAH SEBAGAI TONGGAK KELUARGA

Sementara itu, Muhammad Irsyad Ilham Sophian, 23, pula perlu memikul tanggungjawab membantu keluarga selepas
bapanya disahkan menghidap kemurungan atau Major Depressive Disorder (MDD).

Pelajar tahun akhir USIM itu berkata, ibunya kini menyara keluarga dengan pendapatan sekitar RM1,500 sebulan.

Walaupun berdepan dilema untuk bekerja selepas tamat Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), dia memilih
menyambung pengajian atas dorongan ibu bapanya demi masa depan lebih baik.

“Saya juga bekerja sambilan apabila ada masa lapang. Jika ada lebihan wang, saya akan kirimkan kepada ibu dan beri sedikit kepada adik-adik sebagai belanja.

“Sumbangan ini amat membantu, terutama menjelang Aidilfitri. Insya-Allah saya gunakan
sebaiknya,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN