Kelemahan otot secara tiba-tiba dalam kalangan kanak-kanak sering menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa.
Ada yang menganggapnya sekadar keletihan biasa, manakala ada juga yang terus mengaitkannya dengan strok.
Hakikatnya, terdapat beberapa penyakit saraf yang boleh menyebabkan keadaan tersebut, antaranya Guillain-Barré Syndrome (GBS) dan Bell’s palsy.
Walaupun kedua-duanya melibatkan sistem saraf, sifat dan tahap keseriusannya adalah berbeza.
Pakar perubatan neurologi kanak-kanak, Dr. Tan Jen Ern berkata, GBS ialah penyakit autoimun yang berlaku apabila sistem imun badan tersalah menyerang dan merosakkan saraf periferi.

Saraf periferi berfungsi menghantar isyarat antara otak dan saraf tunjang ke seluruh anggota badan, termasuk kaki, tangan dan otot pernafasan.
“GBS menyebabkan kelemahan otot dan kehilangan sensasi yang kebiasaannya bermula dari bahagian kaki. Dalam sesetengah kes, kelemahan ini boleh merebak ke tangan, muka dan juga otot dada.
“Jika otot dada terjejas, pesakit boleh mengalami kesukaran bernafas dan keadaan ini boleh menjadi ancaman kepada nyawa sekiranya tidak dirawat segera,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebaliknya, Bell’s palsy berlaku akibat kerosakan pada saraf muka, iaitu saraf kranial ketujuh, tanpa punca yang jelas.
Penyakit ini menyebabkan kelemahan otot muka secara tiba-tiba dan lazimnya hanya melibatkan satu sisi muka sahaja.
“Bell’s palsy hanya menjejaskan otot muka. Ia tidak menyebabkan kelemahan pada kaki atau tangan seperti yang berlaku dalam GBS,” jelasnya.
Tanda-tanda awal
Antara tanda GBS yang perlu diberi perhatian ialah kelemahan otot kaki sehingga menyebabkan kanak-kanak kerap jatuh atau hilang keupayaan untuk berdiri seperti biasa.
Dalam keadaan tertentu, kelemahan boleh melibatkan otot dada sehingga menjejaskan pernafasan.
Selain itu, kelemahan otot muka juga boleh menyebabkan kesukaran menelan dan menutup mata.
Bagi Bell’s palsy pula, simptom yang lazim termasuk kesukaran menutup mata, senyum, makan dan minum.
Perubahan ini berlaku secara tiba-tiba dan biasanya hanya pada sebelah muka.
Dr. Jen Ern berkata, GBS lazimnya menjadi lebih serius dalam tempoh dua hingga empat minggu selepas gejala bermula.
Oleh itu, tindakan mendapatkan rawatan awal adalah amat penting bagi mengurangkan risiko komplikasi serta membantu mempercepatkan proses pemulihan.
Faktor risiko
Secara global, insiden GBS dianggarkan antara 0.5 hingga 1.5 kes bagi setiap 100,000 kanak-kanak di bawah usia 18 tahun.
Bagi Bell’s palsy pula, anggaran insidennya lebih tinggi iaitu antara lima hingga 20 kes bagi setiap 100,000 kanak-kanak.
Namun, tiada data khusus mengenai insiden kedua-dua penyakit ini di Malaysia setakat ini.
Punca utama GBS masih belum jelas, namun ia sering disebabkan oleh jangkitan virus atau bakteria. Risiko termasuk jangkitan pada sistem gastrousus atau sistem pernafasan.
Bell’s palsy pula dikaitkan dengan jangkitan virus sistem pernafasan dan juga faktor obesiti.
Kaedah diagnosis dan rawatan
Diagnosis GBS boleh dibuat berdasarkan penilaian simptom serta ujian tertentu seperti analisis cecair serebrospinal, pengimejan resonans magnetik (MRI), elektromiogram (EMG) dan kajian pengaliran saraf (NCS).
Rawatan utama termasuk pemberian intravenous immunoglobulin (IVIG), plasmaferesis serta penjagaan sokongan mengikut keadaan pesakit.
Bagi Bell’s palsy, diagnosis biasanya dibuat berdasarkan simptom dan tanda klinikal selepas punca-punca lain diketepikan.
Rawatan menggunakan ubat kortikosteroid didapati paling berkesan sekiranya dimulakan dalam tempoh 48 jam selepas simptom bermula.
Dalam sesetengah kes, penggunaan air mata tiruan diperlukan bagi melindungi mata daripada kekeringan akibat kesukaran menutup mata.
Selain rawatan perubatan, fisioterapi memainkan peranan penting dalam membantu memulihkan kekuatan dan koordinasi otot yang terjejas.
Tempoh pemulihan dan kesan jangka panjang
Kanak-kanak yang menghidap GBS biasanya berpotensi untuk pulih sepenuhnya, terutamanya jika menerima rawatan awal.
Tempoh pemulihan lazimnya mengambil masa antara enam hingga 12 bulan dengan rawatan, manakala tanpa rawatan, ia boleh berlanjutan sehingga tiga tahun.
Antara kesan jangka panjang GBS termasuk kelemahan ringan otot atau rasa kebas pada anggota yang terlibat.
Bagi Bell’s palsy pula, kesan jangka panjang mungkin melibatkan kelemahan ringan otot muka atau masalah mata kering. Tempoh pemulihan bagi Bell’s palsy biasanya antara tiga hingga 12 bulan.
Menurut Dr. Jen Ern, terdapat tanggapan yang salah dalam masyarakat yang menganggap GBS sebagai penyakit yang tidak berbahaya, sedangkan ia boleh menjadi serius dan mengancam nyawa jika tidak dirawat.
Pada masa sama, Bell’s palsy pula sering disalah anggap sebagai strok yang tidak boleh dipulihkan.
“Ibu bapa digalakkan mendapatkan rawatan segera sekiranya anak menunjukkan tanda kelemahan otot yang luar biasa. Rawatan awal dan pematuhan kepada program pemulihan yang dicadangkan oleh doktor atau pegawai fisioterapi amat penting,” katanya.
Beliau turut berkata, sokongan emosi daripada keluarga memainkan peranan besar dalam membantu kanak-kanak melalui proses rawatan dan pemulihan dengan lebih baik.
“Kehadiran ibu bapa dan ahli keluarga bukan sahaja memberi rasa selamat dan keyakinan kepada anak-anak, malah mampu meningkatkan semangat mereka untuk kuat berdepan prosedur rawatan yang kadangkala menyakitkan,” katanya.



