[go: up one dir, main page]

Video terkini

1MediaTV

NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PM diminta perjelas penipuan skandal Ponzi MBI secara menyeluruh – Zaid Ibrahim



  • Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Mohd Zaid Ibrahim menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya memberikan penjelasan yang lengkap dan menyeluruh berhubung skim Ponzi MBI, dan tidak sekadar bergantung kepada kenyataan penyitaan aset bernilai RM6.7 bilion.
  • Beliau menegaskan Perdana Menteri mesti menjelaskan kepada rakyat sepenuhnya skala sebenar penipuan tersebut dan sebab mengapa kekurangan kesungguhan pada peringkat awal siasatan menyebabkan tiada seorang pun didakwa di mahkamah.
  • Beliau juga menggesa agar identiti 23 tokoh korporat dan proksi terkenal Tedy Teow yang dilaporkan telah ditahan dan disoal siasat didedahkan kepada umum, memandangkan tiada seorang pun daripada mereka dikenakan pertuduhan setakat ini.

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Mohd Zaid Ibrahim menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya memberikan penjelasan yang lengkap dan menyeluruh berhubung skim Ponzi MBI, dan tidak sekadar bergantung kepada kenyataan penyitaan aset bernilai RM6.7 bilion.

Beliau menegaskan Perdana Menteri mesti menjelaskan kepada rakyat sepenuhnya skala sebenar penipuan tersebut dan sebab mengapa kekurangan kesungguhan pada peringkat awal siasatan menyebabkan tiada seorang pun didakwa di mahkamah.

Mohd Zaid berkata, terdapat perbualan umum yang meluas menyatakan skim Ponzi MBI bermula di Pulau Pinang sebelum merebak dengan pantas ke China, selain dakwaan beberapa pemimpin politik dari negeri itu mempunyai hubungan rapat dan pernah dilihat secara terbuka bersama dalang penipuan berkenaan, Tedy Teow, seperti yang dilaporkan dalam akhbar China tempatan.

Beliau juga menggesa agar identiti 23 tokoh korporat dan Tedy Teow yang dilaporkan telah ditahan dan disoal siasat didedahkan kepada umum, memandangkan tiada seorang pun daripada mereka dikenakan pertuduhan setakat ini.

“Terdapat keperluan mendesak untuk menepis tanggapan bahawa individu yang mempunyai hubungan kuat dan diterima secara politik di Malaysia boleh terlibat dalam pengubahan wang haram kerana kompromi atau perjanjian tertentu boleh dicapai.

“Siasatan yang perlahan oleh pihak berkuasa mengukuhkan lagi syak wasangka bahawa skim Ponzi bernilai berbilion ringgit ini mempunyai kaitan rapat dengan ahli politik yang berkuasa.

“Malah, hampir tiada siasatan dilakukan selama bertahun-tahun apabila skandal ini mula terbongkar pada tahun 2010,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Tambah beliau, hanya selepas lawatan Presiden China, Xi Jinping, Operasi Northern Star dilancarkan pada tahun 2025, yang menyaksikan beberapa tokoh korporat terkenal serta individu bergelar Tan Sri ditahan dan disoal siasat, namun sehingga kini masih belum didakwa.

“Perkara yang paling pelik bukan sahaja skala antarabangsa penipuan ini, tetapi hakikat bahawa tiada seorang pun didakwa secara jenayah selepas 15 tahun siasatan,” katanya.

Selain itu, beliau membangkitkan perbezaan ketara dalam kesegeraan pihak berkuasa membawa pertuduhan pengubahan wang haram dan rasuah terhadap beberapa jeneral Melayu serta tiga orang isteri mereka, sehingga Timbalan Pendakwa Raya terpaksa menyatakan bahawa “ia merupakan satu perjuangan yang sukar untuk kami”.

Mengulas lanjut, Zaid berkata ratusan juta dolar pelaburan dari China dalam kes MBI telah lesap, sehingga mendorong kerajaan China bertindak mengekstradisi Tedy Teow.

“Saya percaya ekstradisi ini perlu, sebahagiannya kerana kelewatan kita membawa pihak yang bersalah ke muka pengadilan,” jelasnya. – The Merdeka Times





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

TERKINIGuna istilah ‘rumah ibadat haram’: RSN Rayer mahu Ahli Parlimen Pasir Mas diambil tindakan



  • Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, hari ini mengemukakan satu usul bagi merujuk Ahli Parlimen Pasir Mas ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen di bawah Peraturan Mesyuarat 36(10)(c) susulan ucapan yang didakwa menyentuh isu sensitif berkaitan kaum dan agama.
  • Menurut Rayer, tindakan itu diambil selepas Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, menggunakan istilah “binaan haram” dan “rumah ibadat haram” berulang kali dalam perbahasan di Dewan Rakyat.
  • Menurut Rayer, kenyataan tersebut kini menjadi bahan perbualan dan sindiran di media sosial seperti Facebook dan TikTok, sekali gus berpotensi mencetuskan polemik serta ketegangan antara rakyat berbilang kaum.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, hari ini mengemukakan satu usul bagi merujuk Ahli Parlimen Pasir Mas ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen di bawah Peraturan Mesyuarat 36(10)(c) susulan ucapan yang didakwa menyentuh isu sensitif berkaitan kaum dan agama.

Menurut Rayer, tindakan itu diambil selepas Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, menggunakan istilah “binaan haram” dan “rumah ibadat haram” berulang kali dalam perbahasan di Dewan Rakyat.

“Saya berpandangan beliau telah melanggar peraturan kerana merujuk kepada rumah ibadat haram, ini jelas sekali akan mencetuskan pelbagai persepsi dan juga tanggapan.

“Pada masa sama, kalau sayalah dalam keadaan beliau, seorang Ahli Parlimen, cara saya membawa perkara ini kepada Dewan mungkin dalam fahaman saya, akan menggunakan rumah-rumah ibadat yang tidak memperolehi kelulusan daripada pihak kerajaan, itulah istilah yang akan saya gunakan,” katanya pada sidang media di Parlimen.

Rayer menjelaskan bahawa Peraturan Mesyuarat 36(10)(c) dengan jelas melarang penggunaan perkataan atau kenyataan yang boleh menimbulkan perasaan bermusuhan antara kaum di Malaysia atau melanggar Perlembagaan serta Akta Hasutan.

Rayer juga membangkitkan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang berulang kali menasihatkan semua Ahli Parlimen agar berhati-hati dalam ucapan dan perbahasan supaya tidak mencetuskan ketegangan kaum dalam masyarakat majmuk negara ini.

“Tuanku telah bertitah menasihatkan semua Ahli-Ahli Parlimen untuk berhati-hati ketika membuat ucapan dan perbahasan dalam Dewan Rakyat supaya tidak mencetuskan apa-apa ketegangan kaum ataupun salah faham di antara satu kaum dan kaum yang lain,” jelasnya.

Rayer turut mempersoalkan rumah ibadat yang dirujuk oleh Ahli Parlimen Pasir Mas, termasuk sama ada ia merujuk kepada Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman yang kini sedang diusahakan penyelesaiannya oleh kerajaan.

“Ketika kita sedang cuba menyelesaikan isu-isu melibatkan rumah-rumah ibadat, saya rasakan bahawa ucapan yang dibuat oleh ahli Parlimen Pasir Mas ini adalah sesuatu ucapan yang sungguh tidak bertanggungjawab.

“Jadi saya mohon beliau menjelaskan mana satu rumah ibadat yang dirujuk beliau,” soalnya.

Selain itu, Rayer turut membandingkan pendekatan pemimpin PAS terdahulu, Allahyarham Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang menurutnya sentiasa menyeru kepada toleransi dan persefahaman antara kaum dan agama.

Menurut Rayer, kenyataan tersebut kini menjadi bahan perbualan dan sindiran di media sosial seperti Facebook dan TikTok, sekali gus berpotensi mencetuskan polemik serta ketegangan antara rakyat berbilang kaum.

“Ini telah menjadi satu bahan perbualan sindiran yang menjadi isu antara satu pihak dan pihak yang lain yang boleh mencetuskan pelbagai polemik dan juga ketegangan antara rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

“Pokoknya adalah kita sebagai warga negara Malaysia perlu mematuhi titah tuanku (Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim) dan juga mematuhi Rukun Negara,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap Yang Dipertua Dewan Rakyat dapat memberi perhatian serius terhadap permohonannya dan mengambil tindakan tegas sewajarnya dalam kadar segera. – The Merdeka Times





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Pembatalan ujian diagnostik bukti kerajaan kurang kajian awal – Fadhli Shaari



SHAH ALAM – Keputusan kerajaan membatalkan cadangan pelaksanaan ujian diagnostik terhadap kanak-kanak berusia enam tahun bagi kemasukan ke Tahun Satu disifatkan sebagai satu pusingan U yang mencerminkan kelemahan dalam kajian awal perangkaan dasar pendidikan negara.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pembatalan itu menunjukkan bahawa kerajaan tidak melakukan penyelidikan mendalam sebelum mengumumkan polisi berkenaan kepada umum.

Beliau menerusi satu hantaran di laman Facebook menyambut baik keputusan kerajaan menarik balik cadangan tersebut demi kepentingan rakyat, namun mengkritik proses perancangannya.

“Baguslah kerajaan U-turn pula untuk kebaikan rakyat. Tapi itulah, menampakkan kerajaan sebenarnya tidak buat kajian yang mendalam sebelum umumkan polisi,” ujarnya menerusi hantaran di laman media sosial itu pada Selasa.

Kenyataan itu dibuat susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Dewan Rakyat pada Selasa bahawa kerajaan membatalkan rancangan pelaksanaan ujian diagnostik bagi kanak-kanak berusia enam tahun untuk menilai kelayakan mereka memasuki Tahun Satu.

Minggu lalu, Anwar melancarkan Pelan Pendidikan 2026–2035 yang memperkenalkan beberapa inisiatif baharu, termasuk memberi pilihan kepada ibu bapa untuk mendaftarkan anak berusia enam tahun ke Tahun Satu sekiranya mereka percaya anak itu sudah bersedia.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, memaklumkan bahawa pelaksanaan yang dirancang bermula tahun depan akan dibuat secara berfasa melalui penilaian diagnostik, dengan keutamaan diberikan kepada kanak-kanak yang benar-benar bersedia.

Bagaimanapun, cadangan tersebut menerima kritikan daripada pelbagai pihak yang bimbang ia boleh mewujudkan sistem pendidikan dua darjat dan memberi tekanan awal kepada kanak-kanak.

Menjelaskan keputusan pembatalan itu, Anwar memaklumkan bahawa kerajaan mengambil langkah tersebut selepas meneliti semula cadangan itu, termasuk mengambil kira kebimbangan bahawa ujian sedemikian berpotensi memberi kesan psikologi kepada kanak-kanak.

Jelas beliau lagi, cadangan awal tersebut mempunyai niat yang baik kerana bertujuan memperkenalkan sistem penilaian sebelum kanak-kanak memasuki alam persekolahan. Namun, ia dirasakan boleh bersifat diskriminatif.

Menurut beliau, pendekatan itu juga boleh menyebabkan kanak-kanak dianggap tidak layak atau kurang cerdik sebelum memasuki Tahun Satu atau prasekolah, sekali gus menjejaskan kesejahteraan emosi mereka.

“Oleh itu, ia kini dibatalkan. Ini adalah syor Menteri Pendidikan dan saya bersetuju,” ujarnya.


Sumber | Sinar Harian










........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Gerakan tegur KPM, dakwa kerajaan kerap buat ‘pusingan U’ dasar



SHAH ALAM – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mempersoalkan tindakan kerajaan Madani yang didakwa kerap membuat perubahan atau ‘pusingan U’ terhadap pengumuman dasar penting, khususnya yang melibatkan kepentingan rakyat.

Ketua Penerangan Gerakan, Wendy Subramaniam berkata, keadaan itu seolah-olah menunjukkan kerajaan mengambil ringan terhadap dasar yang diumumkan apabila pengumuman dibuat terlebih dahulu sebelum ditarik balik.

Menurutnya, kerajaan perlu menjalankan kajian terperinci serta menyediakan pelan pelaksanaan menyeluruh sebelum mengumumkan sesuatu dasar bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.

"Gerakan menyambut baik kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengesahkan bahawa Kementerian Pendidikan (KPM) bersetuju menarik balik ujian diagnostik khas kemasukan ke Tahun Satu bagi murid berusia enam tahun.

"Pembatalan ujian diagnostik itu mencerminkan tindakan kerajaan yang didakwa tergesa-gesa dalam menangani dasar pendidikan tanpa persediaan yang mencukupi," ujarnya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan sepatutnya menjangkakan reaksi umum apabila sesuatu dasar diumumkan tanpa maklumat terperinci, kerana kegagalan berbuat demikian boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kewibawaan kerajaan.

Selain itu, ujarnya, keadaan berkenaan turut menimbulkan kekeliruan serta tekanan emosi kepada ibu bapa yang perlu membuat keputusan berkaitan pendidikan anak-anak mereka.

Sehubungan itu, Wendy menekankan keperluan kerajaan mengutamakan kajian data, rundingan dengan pakar serta mengadakan dialog terbuka dengan semua pihak sebelum mengumumkan sebarang dasar, khususnya yang melibatkan sektor pendidikan.

Tambahnya, dasar yang dibuat secara tergesa-gesa tanpa asas kukuh hanya akan mengundang kritikan dan menonjolkan kelemahan dalam pelaksanaannya.


Sumber | Sinar Harian






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Pendekatan 3K dicadang bagi kemasukan murid Tahun Satu usia enam tahun



SHAH ALAM - Pendekatan berasaskan kapasiti, kelahiran dan kelonggaran atau 3K dicadangkan dalam pelaksanaan kemasukan murid Tahun 1 pada usia enam tahun, berbanding pelaksanaan ujian diagnostik terhadap kanak-kanak berusia lima tahun.

Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, berdasarkan data kelahiran tahun 2021, dianggarkan kira-kira 440,000 kanak-kanak akan mencapai usia enam tahun pada 2027 dan memerlukan lebih 12,500 bilik darjah sekiranya purata satu kelas menempatkan 35 murid.

"Penyediaan jumlah bilik darjah berkenaan, termasuk guru terlatih serta fasiliti sokongan lain, merupakan satu cabaran besar kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk dilaksanakan dalam tempoh 11 bulan," menurut Radzi dalam satu kenyataan di laman Facebooknya pada Selasa.

Sehubungan itu, ujarnya, antara pilihan yang boleh dipertimbangkan adalah menangguhkan sedikit pelaksanaan kemasukan murid Tahun Satu pada usia enam tahun bagi memberi ruang kepada penyediaan bilik darjah, guru serta fasiliti yang diperlukan.

Bagaimanapun jika KPM tetap meneruskan pelaksanaan pada 2027 beliau berkata, kemasukan murid berkemungkinan dilaksanakan secara berperingkat, selaras dengan kekangan kapasiti bilik darjah dan tenaga pengajar seperti yang digambarkan Menteri Pendidikan.

Mengulas perkara itu, Radzi mempersoalkan kaedah kemasukan berperingkat yang akan dilaksanakan dan mencadangkan pendekatan 3K sebagai asas pelaksanaannya.

Beliau menjelaskan, dari segi kapasiti, KPM perlu meneliti keupayaan sebenar yang boleh disediakan pada Januari 2027 bagi pengambilan tambahan murid Tahun Satu berusia enam tahun, termasuk ketersediaan kelas, guru dan fasiliti, selain membuat unjuran kapasiti bagi tahun-tahun berikutnya.

Dari segi kelahiran pula ujarnya, kemasukan berperingkat seharusnya ditentukan berdasarkan tarikh kelahiran kanak-kanak dan bukannya melalui saringan ujian diagnostik.

Sebagai contoh jelasnya, jika KPM hanya mampu mengambil tambahan 100,000 murid pada 2027, kelayakan kemasukan boleh ditetapkan berdasarkan bulan kelahiran tertentu.

“KPM boleh menetapkan murid yang mencapai usia enam tahun antara Januari hingga April 2027 diterima masuk ke Tahun 1. Pada tahun-tahun seterusnya, berdasarkan pertambahan kapasiti, julat kelayakan ini boleh diperluaskan,” ujarnya.

Beliau turut mencadangkan agar ibu bapa diberikan kelonggaran untuk membuat pilihan sama ada mendaftarkan anak yang layak memulakan Tahun 1 pada usia enam tahun atau menangguhkannya ke usia tujuh tahun.

Menurut Radzi, pendekatan berkenaan lebih selari dengan proses pertumbuhan kanak-kanak kerana perbezaan perkembangan antara kanak-kanak yang lahir pada hujung tahun sebelumnya dan awal tahun berikutnya tidak begitu ketara.

Tambahnya, pendekatan itu juga memberi peluang kepada pembinaan budaya baharu permulaan persekolahan pada usia enam tahun dalam keadaan yang lebih harmoni dan tersusun.


Sumber | Sinar Harian








........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

'Beruk-beruk ini selamat, pegawai jadi kambing hitam, kena sembelih' - Abdul Hadi



KUALA LUMPUR - Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa terdapat undang-undang terpilih yang diamalkan kerajaan khususnya dalam isu rasuah.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, ini kerana tindakan undang-undang terhadap jenayah rasuah hanya dikenakan kepada mereka yang menerima rasuah, selain dilaksanakan secara terpilih.

"Undang-undang terpilih, orang yang sokong kerajaan diselamatkan. Yang tidak sokong, jaga... kena (tindakan), menyebabkan payung kerajaan bocor, menjadi pelindung kepada perasuah.

"Nak selamat, sokong kerajaan. Kalau tidak sokong, tidak selamat," katanya ketika Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, pada Selasa.

Dalam pada itu beliau turut meragui tindakan yang diambil pihak berkuasa dalam sesetengah kes membabitkan pegawai yang menjadi 'kambing hitam'.

Menggunakan anologi beruk dan kera yang berebut sebiji pisang, Abdul Hadi membangkitkan mengenai projek dan perolehan kerajaan yang gagal kerana kewujudan orang tengah mengaut keuntungan.

"Apa yang berlaku, tindakan (hanya) kepada yang terima rasuah, yang sogok dan orang tengah tidak diberi (tindakan), kononnya nak dapat pertolongan, nak jadi saksi dan sebagainya.

"Beruk-beruk ini selamat, pegawai jadi kambing hitam, kena sembelih. Sebab itu, saya meragui orang yang dedahkan nama-nama pegawai ini, bukan tentera sahaja, semua jawatan yang didedahkan ini.

"Mungkin ada beruk-beruk besar (di sebaliknya). Pegawai ini dipaksa takut kepada beruk, terpaksa kena buat (perbuatan rasuah), maka berlakulah tindakan begitu rupa," ujarnya.


Sumber | Sinar Harian







........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Bapa empat anak curi susu tepung merayu kurangkan denda



MELAKA - Seorang pengawal keselamatan didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini pada Selasa selepas mengaku bersalah mencuri susu tepung serta beberapa barangan lain dari sebuah pusat beli-belah minggu lepas.

Tertuduh, Mohamad Ghazali Maidin, 46, membuat pengakuan itu dihadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencuri dua pek susu tepung, dua botol syampu dan sebotol pencuci pakaian bernilai keseluruhan RM131.50 milik sebuah pasar raya. 

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pusat beli-belah tersebut sekitar jam 10.30 pagi pada 21 Januari lalu.

Mengikut fakta kes, tertuduh dikesan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan dia mengambil barang di bahagian pasar raya menggunakan troli sebelum menolaknya keluar melalui pintu tingkat satu.

Tertuduh kemudian membawa pulang barangan dengan motosikal tanpa membuat bayaran.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Syaza Nur Sharif memohon hukuman setimpal terhadap tertuduh.

Sementara tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Muhammad Izzuddin Ab Malek memohon hukuman minimum dengan alasan tertuduh mempunyai empat anak dan mencuri kerana terdesak akibat kesempitan hidup.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman itu dan penjara sebulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.


Sumber | Sinar Harian










........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Ringgit cecah paras tertinggi lebih tujuh tahun pada 3.95, tahap sokongan baharu 3.8722



[DIKEMAS KINI] RINGGIT mengakhiri urus niaga hari ini dengan mencecah satu lagi paras tertinggi dalam tempoh lebih tujuh tahun berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada 3.95 hari ini dengan ahli ekonomi menjangkakan paras sokongan baharu seterusnya pada RM3.8722.

Pada jam 6 petang ini, ringgit mengukuh kepada 3.9500/9555 berbanding dolar AS daripada 3.9615/9670, semalam yang merupakan paras tertinggi sejak mencatat 3.9480 pada Mei 2018.

Bercakap kepada Bernama, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, mesyuarat dua hari FOMC di AS bermula malam ini yang akan dipantau rapat kalangan peniaga dan pelabur bagi mendapatkan pandangan Rizab Persekutuan AS (Fed) mengenai prospek ekonomi dan hala tuju dasar di masa akan datang.

"Pasaran misalnya telah menjangkakan dua pengurangan kadar faedah utama AS tahun ini yang memaparkan persepsi bahawa Fed mengamalkan kelonggaran dasar apabila keadaan ekonomi berkembang.

"Selain itu, pengerusi baharu bank pusat AS akan dilantik dalam masa terdekat dan akan diumumkan oleh Presiden AS Donald Trump tidak lama lagi," katanya.

Mohd Afzanizam sebelum ini berkata, berdasarkan analisis carta teknikal, paras sokongan baharu bagi mata wang tempatan itu adalah pada RM3.8722.

Beliau berkata, walaupun sentimen dalam masa terdekat ini kekal positif, pasaran dijangka kekal berwaspada terhadap hala tuju kadar faedah bagi 2026.

Pada pagi ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata angka ekonomi yang positif berjaya memperkukuh kedudukan dan nilai ringgit, malah pengukuhan mata want itu juga menunjukkan keyakinan pelabur terhadap ekonomi negara sejajar dengan peningkatan angkanya.

"(Pengukuhan) ringgit tidak harus dilihat secara terpisah (tetapi) harus dilihat juga dari segi peningkatan pelaburan dan pendapatan serta (kadar) pengangguran yang berkurangan.

"Angka ekonomi secara keseluruhannya menunjukkan petanda positif dan berjaya memperkukuh kedudukan ringgit," kata beliau di Dewan Rakyat pada Selasa.

Dalam pada itu, ringgit juga meningkat berbanding kumpulan mata wang utama lainnya.

Ringgit mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.4103/4178 daripada 5.4166/4241 semalam, meningkat berbanding euro kepada 4.6958/7023 daripada 4.6999/7064 dan naik berbanding yen Jepun kepada 2.5691/5730 daripada 2.5783/5820 sebelum ini.

Prestasi sama turut dicatatkan ringgit berbanding mata wang negara anggota ASEAN lainnya iaitu meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1174/1219 daripada 3.1242/1288 semalam, naik berbanding baht Thailand kepada 12.7247/7478 daripada 12.7441/7679, mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 235.5/236.0 daripada 236.0/236.4 serta naik berbanding peso Filipina kepada 6.68/6.70 daripada 6.72/6.73. - Bernama










........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

PRN Melaka, Johor: BN belum buat apa-apa keputusan - Tok Mat



SEREMBAN - Barisan Nasional (BN) masih belum membuat sebarang keputusan mengenai kerjasama politik dengan mana-mana parti bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor akan datang.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, masih terlalu awal untuk bercakap soal pembahagian kerusi antara parti kerana ia masih belum diputuskan.

Bagaimanapun ujarnya, terpulang kepada pucuk pimpinan parti masing-masing untuk menentukan corak dan formula mereka, namun tegasnya BN masih belum memutuskannya lagi.

"Apabila kita sudah putuskan dalam parti, barulah kita berbincang dan itu pun kalau nak berbincang dengan orang lain.

"Kalau dalam parti pun belum lagi memutuskan apa-apa, tidak perlulah kita nak cakap apa-apa.

"Kalau parti nak pergi sendiri, sendirilah. kalau itu kata putus parti, kita ikut," katanya ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Bantuan Awal Persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Sendayan di sini pada Isnin.

Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, paling menjadi keutamaan ketika ini adalah memastikan BN dapat kekalkan kemenangan di kedua-dua negeri terbabit.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara(Amanah), Khalid Abdul Samad yang dilaporkan menuntut agar rundingan pembahagian kerusi bagi PRN Melaka dan Johor dilakukan secara seimbang dan adil antara Pakatan Harapan (PH) dan BN, selaras dengan semangat Kerajaan Perpaduan.

Jelasnya, landskap politik semasa di kedua-dua negeri itu menyaksikan kebanyakan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dikuasai oleh wakil BN susulan perkembangan politik sebelum ini.

Khalid turut menegaskan bahawa pendekatan ‘incumbent’ atau keutamaan kepada penyandang tidak lagi wajar diguna pakai kerana ia boleh menjejaskan keadilan kepada parti lain, khususnya dalam kalangan komponen PH.



Sumber | Sinar Harian







........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Muhyiddin dicalonkan semula? Pas serah sepenuhnya Majlis Presiden PN



KUALA LUMPUR – Pas tidak melihat sebarang halangan dalam menyokong cadangan menamakan Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai Pengerusi Majlis Presiden Perikatan Nasional (PN).

Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, bagaimanapun sebarang keputusan berhubung perkara itu perlu diputuskan secara rasmi oleh presiden-presiden parti  gabungan berkenaan.

"Tiada masalah, namun Majlis Presiden PN yang perlu tentukan, bukan orang lain. Ia mesti dalam kalangan presiden-presiden parti, (boleh diterima) kalau semua bersetuju.

"(Dalam pertemuan sebelum ini) tiada apa-apa keputusan dibuat berhubung perkara ini. (Apa) yang dibuat adalah kuasa atau 'jurisdiction' majlis presiden itu dikaji semula untuk ditingkatkan lagi," katanya ketika dalam sidang media Timbalan Setiausaha Agung PN di Pejabat Agung Pas, Jalan Raja Laut pada Isnin.

Sebelum ini, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN.

Peletakan jawatan itu disahkan sendiri bekas Perdana Menteri itu menerusi satu hantaran di Facebook pada Selasa, yang mana peletakan jawatannya sebagai Pengerusi gabungan itu berkuat kuasa 1 Januari ini.

Susulan itu, timbul pelbagai spekulasi calon akan menerajui PN termasuk Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Moktar.

Sebelum ini, wujud beberapa desakan daripada Pas termasuk oleh Ketua Pemudanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden yang mahu jawatan Pengerusi PN diberikan kepada Pas.

Menurut Takiyuddin, sebarang perbincangan melibatkan penetapan jawatan tersebut berada sepenuhnya di bawah bidang kuasa Majlis Presiden PN yang dianggotai presiden parti komponen termasuk Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Ujarnya, selain Abdul Hadi dan Muhyiddin, Majlis Presiden PN turut dianggotai Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau serta Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), P Punithan.

"Saya bayangkan apabila Majlis Presiden PN dipanggil mesyuarat, di situ mereka lantik antara empat presiden ini, sama ada setuju atau tak setuju.

"(Segala keputusan dalam pertemuan) kena buat dalam mesyuarat Majlis Presiden PN," ujarnya.


Sumber | Sinar Harian







........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

© all rights reserved
made with by templateszoo